Rabu, 14 Ogos 2013

Menanam Petai

Saya menggunakan halaman utama ini untuk menjawab persoalan dari Saudara Azmani dari Tapah, Perak yang menghantar SMS bertanyakan bagaimana untuk menanam petai yang baru dibeli dari kedai. Saya telah menjawab tetapi dengan agak ringkas melalui SMS kerana ruang yang terhad. Jadi, seperti dijanjikan kepada Saudara Azmani, melalui ruang blog Dusun Ku ini saya menjelaskan dengan panjang lebar proses penanaman petai berdasarkan kadar pengetahuan saya.

Memang benar Tapah, Cemor, Bidor, Kampar adalah diantara tempat yang terdapat banyak petai yang dipasarkan dibandar2 tersebut. Jadi, proses pertama yang perlu saudara lakukan ialah memilih petai2 yang berkualiti. Iaitu matanya rapat, besar, senang dikopek kulitnya, tidak ada kerosakan disebabkan ulat dan rasanya lemak dan sedap dimakan. Saya lebih suka kepada jenis "Petai Padi" yang lebih lemak dan mendapat sambutan pasaran yang baik. Pilihlah petai yang agak tua iaitu berwarna perang atau hitam kulitnya.

Sediakan tapak semaian, seelok2nya polybag yang agak besar dalam 25cm diameter. Isikan tanah berpasir kira2 separuh polibag tersebut. Kemudian masukkan dalam sekilo baja tahi ayam dan campurkan dengan daun2 kering reput bagi lapisan kedua dalam polibag tersebut. Ini untuk memudahkan akar membiak melalui lapisan lembut daun2 kering tadi. Masukkan tanah bakar dilapisan atas dalam polibag tersebut sehingga kira2 dua inci kepermukaan polibag.


Masukkan 3 atau 4 biji petai tua kedalam polibag dan biarkan ia tenggelam sedikit (samar2 nampak) dipermukaan tanah dalam polibag. Letakkan polibag semaian tadi dibawah naungan pokok2 supaya terhindar dari panas terik matahari. Siram 2 kali sehari. Pilih hanya satu anak pokok petai yang tumbuh dalam polibag dan buangkan yang lain apabila ianya tumbuh sekitar 8 - 10 cm. Anak benih petai ini boleh dipindahkan ketapak tanaman kekal apabila tingginya menjangkau 20cm.

Petai sesuai dengan semua jenis tanah kecuali kawasan berair yang bertakung atau tanah berlumpur. Seelok2nya kawasan tanah yang agak berbukit, peroi atau tanah liat berpasir.

Satu cara lagi yang paling mudah ialah mendapatkan benih anak pokok petai melalui tapak semaian Pejabat2 Pertanian daerah yang ternyata berkualiti. Harga yang dijualkan pun agak murah iaitu kurang dari RM15/= sepokok. Saya ada membeli 3 pokok petai melalui Pejabat Pertanian ini yang saya tanam kira2 setahun dahulu. Kini Alhamdulillah, ketiga2 pokok tumbuh rendang dalam 3 meter tinggi.

Itulah sekadar yang saya tahu. Selamat menanam. Mula2 memang remeh dan susah sedikit. Tetapi bila pokok dah besar, berbuah lebat pastinya "Senyuman Tuan Akan Melebar."

InsyaAllah

Inilah Jenis Petai Padi yang terdapat di Dusun Ku