Jumaat, 15 April 2011

Mimpi yang memberi pengajaran yang berguna & membuktikan ajaran Islam yang sempurna

Aku percaya, semua manusia sama ada kecil besar, tua muda, lelaki perempuan sememangnya biasa bermimpi. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.

"Pendapat Ulamak dan menurut Hadis Rasulullah, - mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah tidak bermimpi melainkan mimpi baginda menjadi kenyataan. Sedangkan mimpi insan yang tidak beriman merupakan berita yang disebarkan oleh syaitan."
Aku ingin berkongsi maklumat berkenaan beberapa mimpi yang aku alami yang benar2 memberi petunjuk dan pengajaran yang berguna disamping mengesahkan apa yang diajar oleh Agama Islam itu sememangnya benar dan betul belaka. Mimpi2 yang telah aku alami ini menyedarkan aku supaya lebih bertakwa kepada Allah SWT.
Semua koleksi mimpi pelik yang aku alami tersebut adalah merupakan interaksi aku dengan orang2 yang baru meninggal dunia. Aku pernah bertanya kepada rakan2 dimana ada diantara mereka juga pernah bermimpi bertemu dengan orang yang telah mati tetapi hanya bermimpi melihat wajahnya sahaja dan tidak difahami tafsiran dari mimpi2 tersebut.
Namun mimpi2 yang aku alami bertemu dan berinteraksi dengan beberapa simati telah memberikan satu makna, tafsiran dan pengajaran yang amat berguna. Walau bagaimanapun, pendedahan yang aku lakukan ini adalah semata-mata bertujuan untuk mengukuhkan ketakwaan mereka yang membaca kepada ajaran Islam & Allah SWT. Ada diantara nama2 yang aku catatkan bukan merupakan nama mereka yang sebenar kerana tidak mahu disalah tafsir dan memburukan mereka pula.
1.  Mimpi Pertama.
Ianya berlaku sekitar tahun 1980an. Kira2 dua minggu selepas abang iparku (OH) meninggal dunia aku bermimpi dua kali berturut-turut berkenaan dirinya. Allahyarham OH ini meninggal dunia semasa masih teruna dalam umur lebih kurang 25 tahun. Sakitnya tidak diketahui. Beliau kerapkali jatuh secara tiba2 tak sedarkan diri. Pernah ketika menonton pertandingan badminton Piala Thomas di Stadium Negara dengannya, beliau tiba2 jatuh tak sedarkan diri ketika James Selvaraj sedang bertarung. Ada orang cuba memasukkan pen kedalam mulutnya kerana mereka menyangkakan beliau terkena sawan. Namun, mulutnya tidak berbuih dan beliau tidak menggelupor atau mengunci mulutnya. Beliau umpama seperti tertidur sahaja dan akan sedar kembali kurang dari setengah jam kemudian. Sebenarnya  beliau telah banyak kali mendapat rawatan kesihatan namun pihak doktor dan hospital tidak tahu punca penyakitnya. Kali terakhir beliau jatuh ialah ketika pulang kekampung dan terus menghembuskan nafasnya. Yang sedihnya terdapat banyak kesan lebam pada mayatnya.
Kira2 seminggu selepas dikebumikan aku bermimpi jasadnya dengan kain kapan yang koyak rabak serta beberapa bahagian kulit muka, kaki dan tangannya tertanggal dan dalam keadaan yang amat menyedihkan dan jasad tersebut dengan sayu berjalan melintasi diri ku. Keesokkan harinya aku menceritakan kepada isteriku berkenaan mimpi tersebut. Apa yang kami boleh lakukan hanya berdoa semoga rohnya tenteram menghadapi tuhan. Malam kedua aku bermimpi lagi dengan mimpi yang sama tetapi dengan keadaan jasad yang lebih teruk. Hujung minggu kami balik kekampung dan menceritakan kepada kepada mertuaku. Kenduri tahlil & doa selamat diadakan memohon supaya rohnya tenteram menghadapi Allah SWT.
Aku tak mahu menceritakan perihal arwah sepanjang yang aku kenal semasa hayatnya. Cukuplah sekadar aku mengatakan supaya kita ikutlah ajaran Islam yang sebenar. Jangan sekali2 tinggal sembahyang lima waktu dan jauhilah dari aktiviti yang ditegah agama. Sessungguhnya siksaan dari Allah amat dashyat. 
2.  Mimpi Kedua.
Ianya berlaku sekitar tahun 1993 hingga 1995 dan aku tak ingat tarikh tepatnya. Suatu malam aku bermimpi yang amat mengerikan dimana nenek tiriku yang bertelekung putih ketika itu dalam keadaan yang tidak tenteram cuba mencari jalan keluar dari rumah emakku. Aku lihat dia berlari ketingkap, kepintu dan setiap pelusuk rumah namun tidak berjumpa jalan keluar. Aku terkejut dengan situasi tersebut dan keesokan harinya aku terus menalipon emakku bertanya keadaan nenek tiriku itu. Aku dengar suara emakku terkejut lalu membuat penjelasan yang nenek tiriku baru meninggal dunia kira2 seminggu sebelum itu. Mereka sengaja tidak memberitahu padaku kerana aku tinggal di Kerteh dan terlalu jauh untuk bergegas balik ka Penang. Emak ku juga memberitahu bahawa pada masa itu mereka sedang berusaha mengubat adik perempuan ku yang terkena gangguan makluk halus yang mungkin peninggalan dari orang tua dulu2 yang kehilangan penjaganya.
Pengajaran dari sini ialah jangan berkawan atau percaya kepada makluk halus. Roh orang berkenaan mungkin dalam kesusahan dan memohon pertolongan. Aku masih ingat selepas mendapat penjelasan dari emakku pada malamnya aku membaca Surah Yassin dan sembahyang dua raakat memohon supaya roh berkenaan tenteram menghadapi Allah SWT.
3.  Mimpi Ketiga
Mimpi kali ini lebih pelik lagi. Kali ini Si Mati benar2 bercakap & berinteraksi dengan ku. Ianya berlaku kira2 sebulan sebelum aku pergi mengerjakan haji pada tahun 2005. Seorang kawan baikku berjawatan Pengurus di Petronas baru ditukarkan bekerja di Indonesia bernama AR. Suatu petang ketika baru pulang dari Indonesia beliau mengadu sakit kaki dan mendapat rawatan di Klinik Panel dan terus di rujuk ke hospital Selayang. Beliau meninggal pada keesokkan harinya. Mungkin sudah ajalnya kerana sakitnya tidak seberapa hanya terlanggar troley ketika mengambil bagasi di Airport tanpa luka dan bengkak pun. Arwah ini adalah seorang kenalan ku yang amat baik, patuh kepada ajaran agama, sentiasa bersolat apabila masuk waktu, seorang suami dan ketua keluarga yang penyayang. Setahu aku beliau tidak pernah merokok apatah lagi melakukan kerja2 haram yang lain. Rumah yang beliau sewa di Damansara itu, aku yang tulong carikan kerana beliau orang Sarawak.
Suatu malam selepas seminggu beliau meninggal, aku bermimpi beliau berpakaian baju dan seluar putih dalam keadaan kemas dan bersih datang kepadaku sambil berkata:  "Li, aku nak minta tulong pada kau duit Dua Ratus ringgit" dan itu sahaja perkataannya. Semasa dia bercakap aku lihat seorang Dealer Stesen Minyak Petronas di Shah Alam lalu di belakangnya. Aku amat kenal dealer tersebut kerana suatu ketika dulu aku biasa menjaga stesen2 minyak di Shah Alam, Kelang dan Petaling Jaya. Besok paginya aku bercerita pada rakan sejawatanku MNS yang sama2 bertugas sebagai Pengajar di Pusat Latihan Petronas. Satelah berbincang aku pun menalipon Dealer berkenaan. Rupa2nya arwah AR pernah meminta pertolongan dealer berkenaan membuat permohonan pertukaran sekolah anak2nya ke Shah Alam beberapa tahun sebelum itu. Mungkin beliau terlupa menjelaskan yuran2 berkenaan. Aku berkata pada dealer berkenaan yang aku hendak menjelaskan wang RM200 bagi pihak arwah kepadanya. Tetapi dealer berkenaan mengatakan jika ada pun wang tertunggak daripada arwah, beliau dengan rela hati menghalalkan kesemuanya dunia & akhirat.  Sejak itu aku tak mimpi lagi akan arwah.
Tetapi kira2 beberapa hari sebelum ke tanah suci, aku menerima panggilan talipon dari isteri arwah menjemputku kerumahnya untuk kenduri tahlil. Kebetulan tarikhnya sama dengan kenduri doa selamat dirumahku di KL, jadi aku tak dapat pergi. Aku hanya beritahu beliau bahawa aku akan melakukan umrah badal untuk arwah ditanah suci nanti. Tak sampai hati aku pun terus menceritakan kisah aku bermimpi arwah suaminya seperti cerita diatas. Aku dengar beliau menangis teresak-esak kerana katanya beliau pun bermimpi yang arwah datang kepadanya suruh cari JO di Petronas. JO ini merupakan seorang pengurus Petronas juga bertugas di Indonesia. Isteri arwah berkata beliau sudah menghubungi JO dan kabarnya arwah ada berhutang wang dengan JO bagi menyelesaikan yuran anaknya yang sedang belajar Medic di Indonesia. Nilai hutang agak banyak juga dan telah pun dijelaskan oleh isteri arwah kepada JO. 
Pengajaran disini ialah walaupun baik amalan kita didunia ini ianya masih terawang-awang dialam barzakh selagi hutang piutang kita sesama manusia belum dilangsai atau dihalalkan.
Sebenarnya ada 2 lagi mimpi yang aku alami melibatkan emak mertuaku yang baru meninggal serta seorang yang aku tak kenal langsung tiba2 datang mencariku dari Sabah menjelaskan hutang bapak mertuanya kepadaku sebanyak RM15,000/=  akan aku ceritakan di episod yang akan datang kerana sudah terlalu panjang cerita ini dan aku perlu ke Masjid untuk bersembahyang.

Wassalam