Jumaat, 28 Julai 2017

Musim Durian Kembali Lagi.....

Alhamdulillah!!!  Ada beberapa pokok Durian di Dusun Ku kini mula menggugurkan buahnya.  Aku terpaksa menunggu di Dusun dari awal pagi hingga lewat petang kerana terdapat ancaman dari dua jenis musuh. Satu jenis ada dari kalangan Monyet liar yg menjadikan Dusun aku sebagai sasaran mereka. Yang satu jenis lagi ialah Monyet kepala hitam. Yang ini tak berapa ganas sangat. Lebih kepada berlakon kerana pada musim buah inilah ramai monyet jenis ini yang datang memerangkap burung di sekitar Dusun Ku.

Cerita selanjutnya refer to Halaman "Dusun Ku"

Buah baru mula gugur. Yg dalam bakul akan dihantar kpd Pemborong

Tempat berehat aku menunggu buah gugur di beranda rumah di Dusun Ku

Isnin, 10 Julai 2017

Alahai...... Cerita Buluh Lemang Lagi.

Aku tidak terfikir semasa mula2 menanam buluh lemang beberapa tahun yang lepas akan permintaan terhadapnya terlalu tinggi.  Sebelum Raya baru2 ini telah aku muatkan artikel berkenaan aku memenuhi beberapa permintaan terhadap buluh lemang ini. Pada masa itu aku hanya menjual pada kadar RM1/= seruas atau sebatang.  Hari Jumaat lepas iaitu selepas Raya ada lagi permintaan buluh lemang dari seorang peniaga tempatan ini. Beliau adalah pembeli regular daripada aku. Kali ini beliau pula menawarkan untuk membayar pada harga RM1.50 sebatang dan memerlukan dalam 1000 batang dengan segera. Katanya terlalu banyak tempahan untuk orang buat rumah terbuka pada hari Sabtu dan Ahad. Buluh lemang dihutan katanya pun dah sukar diperolehi. Orang Asli pun tidak lagi mampu memenuhi permintaannya. Beliau mencadangkan aku memperbanyakkan tanaman rumpun buluh lemang ini kerana permintaan dimasa akan datang pastinya bertambah.

Sebenarnya, tanaman Buluh Lemang amat mudah. Ia senang tumbuh dan dalam tempoh kurang dari setahun sudah boleh ditebang untuk dipasarkan. Sebatang pokok Buluh Lemang yang baik akan dapat menghasilkan dalam 10 ruas. Pokoknya tidak sesemak buluh biasa dan mudah dipotong atau ditebang kerana ianya terlalu nipis.

Aku bercadang untuk memperbanyakkan lagi tanaman buluh lemang ini di Dusun Aku. Aku mensasarkan kawasan sekeliling pagar untuk ditanam. Buat masa ini aku sedang berusaha memindahkan akar2 buluh lemang ke tapak baru. InsyaAllah, target aku untuk tahun ini ialah sebanyak 20 rumpun lagi. Aku akan update kan perkembangannya dari masa kesemasa. Aku juga mencadangkan kepada yg berminat supaya menanam Buluh Lemang terutama disudut halaman rumah. Ianya tidak semak dan rumpun buluh sememangnya ditakuti oleh ular dan binatang perosak yang lain.

Buluh lemang yg dipotong setiap 3 ruas siap utk dihantar kpd pembeli
Beberapa Rumpun Buluh Lemang aku kelihatan botak dan mula tumbuh pucuk baru

Rabu, 5 Julai 2017

Jambu Bola

Semasa aku masih kecil dulu sekitar Tahun 60an ada sepohon pokok Jambu Bola sebelah telaga rumah aku. Bila musim buah jambu masak,  aku akan ambil buah yang masak berwarna merah dan aku cucukkan dengan daun nyior.  Adalah dalam 6 atau 7 biji secucuk dan aku jual pada harga 10 sen saja secucuk. Aku naik basikal dan pusing kampung menjaja ..... "Buah Jambu.... Buah Jambu"  dapatlah duit poket dalam RM1 atau RM2/= sehari.

Kini ada sepohon pokok Jambu Bola di Dusun Aku.  Pokoknya amat besar, rendang dan tinggi. Pada beberapa tahun permulaan aku beli Dusun ini aku lihat Tuan Tanah dulu telah mengikis kulit pangkal pokok jambu ini.  Mungkin Tuan Tanah itu hendak biarkan pokok ini mati agaknya. Namun aku pulihkan kembali pokok ini dengan menyiram baja, buat pruning, tampal lubang2 buruk dengan simen dan Alhamdulillah pokok Jambu Bola ini tumbuh dengan lebih subur. Akan tetapi, aku telah menunggu bertahun2 namun ia tidak juga berbuah.  Satu hari aku ada bersembang dengan ayah aku berkenaan pokok Jambu Bola ini sementelahan mengingat kembali pohon jambu yg ada ditepi telaga suatu ketika dulu. Ayah aku tidak setuju aku menebang pokok itu kerana katanya kalau nak ditanam pokok yang sama jenis mungkin akan mengambil masa bertahun2 baru akan mengeluarkan hasil. Tapi aku dah cerita dengan ayah aku yang aku telah membubuh baja dan sebagainya tetapi pokok tidak juga berbuah hanya tumbuh subur dengan daun yg rendang.

Tiga tahun lepas aku nekad akan menebang juga pokok Jambu ini. Aku hanya beri peluang sekali kepada pokok itu dengan memberi amaran  "Wahai Pokok Jambu, aku telah menjaga engkau dari hampir mati dulu kepada terlalu subur sekarang.  Tetapi engkau tidak juga berbuah. Aku beri Last Warning kepada engkau iaitu Sekiranya engkau tak berbuah juga musim ini aku akan tebang engkau kerana aku akan tanam dengan pokok yg lebih produktif daripada engkau"  Aku bercakap dengan pokok Jambu itu sambil menepuk2 batang pokoknya.

Semenjak daripada itu Pokok Jambu Bola ini tidak berhenti berbuah bermula dalam 3 tahun lepas hingga kini dan menjadi diantara pokok kesayangan aku di Dusun ketika ini. Cuma buahnya amat digemari oleh Sang Tupai dan burung2 sehingga aku terpaksa memetik buah yg tidak cukup masak setiap kali musimnya hanya untuk makan cicah dengan kuah rojak,  Rasanya sungguh enak dan ada sekali sekala aku dapat merasakan buanhnya yang ranum amat manis dan lemak.

Sesungguhnya, pokok2 adalah juga makhluk Allah SWT.  Mereka hidup seperti kita dan Alhamdulillah!!! Pokok Jambu Bola ini mendengar permintaan aku.

Petik sikit pagi nie nak makan cicah Kuah Rojak petang nanti.