Jumaat, 30 Ogos 2013

Terima Kasih Encik Man. Ah Kun Ooii Ah Kun....

Baik juga aku update kan aktiviti di Blog Dusun Ku ini. Seorang pembaca & pemborong buah2an bernama Encik Man dari Lancang, Mentakab, Pahang menghubungi aku untuk memborong hasil Dusun Ku. Beliau bertanyakan samaada aku boleh membekalkan minima 300 Kg. buah rambutan yang ingin diborongnya pada harga RM2.00 sekilo  untuk di Pasarkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Aku kata yang aku biasa petik dalam 100 kg sahaja sehari kerana aku lakukan sendiri tanpa pembantu. Beliau suruh aku cuba petik banyak sikit kerana beliau terpaksa bawa lori dari Mentakab ke Kuantan yang jaraknya lebih 170km sehala.

Bermula pada pagi 26/8 aku pun cuba memetiknya. Pada hari tersebut, En. Man menalipon aku setiap jam untuk bertanyakan kuantiti yang telah dipetik. Aku bermula dari pukul 8.30 pagi dan sehingga jam 1.30 petang aku hanya berjaya memetik sebanyak 5 bakul besar atau lebih kurang dalam 200 kilo.  Lantas En. Man mengatakan tak berbaloi untuk beliau travel jauh dengan lori untuk mengambil 200 kilo sahaja. Aku pun kata tak mengapa kerana aku pun tahu beliau tidak akan mendapat keuntungan yang berpatutan pada jarak yang bagitu jauh.

Namun En. Man amat baik hati, beliau merekomenkan sahabat beliau seorang pemborong buah di Kuantan bernama Ah Kun untuk membeli hasil petikan aku tadi. Dalam jam 2 petang Ah Kun menalipon aku untuk mengambil semua rambutan yang telah aku petik juga pada harga RM2.00 sekilo. Apalagi, pada hari itu sahaja aku mendapat hampir RM400/=.

Cerita tak berhenti disitu sahaja.  Ah Kun mahu aku bekalkan rambutan dan dokong sebanyak mana yang aku petik setiap hari kepada beliau. Katanya, rambutan aku mendapat sambutan hebat. Hari yang kedua juga aku berjaya memetik hampir 200 kilo. Hari yang ketiga sama juga bagitu juga dengan semalam.  Pasaran menjadi semakin hebat. Ah Kun tak berhenti menalipon aku meminta supaya aku membekalkan lebih banyak lagi. Beberapa bakul kosong diberikan kepada aku untuk memudahkan kerja aku.

Dengan mengenali Ah Kun taukeh buah yang baik hati ini, pasaran aku menjadi lebih terbuka. Terima Kasih kepada En. Man dan Alhamdulillah, Syukur kepada Allah SWT dalam meluaskan rezeki melalui peluang pasaran baru yang besar untuk Dusun Ku.

Secara kebetulan, semalam aku bertemu En Man yang menghantarkan bekalan durian ketempat Ah Kun.  Terima Kasih sekali lagi En. Man dan maaf tak dapat belanja makan semalam kerana hari Khamis. Mungkin kita boleh makan dihari lain bila bertemu kelak.

Isteriku tersenyum lebar setiap kali melihat aku balik dari kedai Ah Kun sambil menyanyi-nyanyi kecil lagu:-   Ah Kun oh Ah Kun.... Ooii... Ah Kun oh Ah Kun Ooii... Ah Kun oh Ah Kun..


Ada 3 bakul besar yang ditenggelami & dilimpahi rambutan untuk dibawa ke Kedai Ah Kun


Rabu, 14 Ogos 2013

Menanam Petai

Saya menggunakan halaman utama ini untuk menjawab persoalan dari Saudara Azmani dari Tapah, Perak yang menghantar SMS bertanyakan bagaimana untuk menanam petai yang baru dibeli dari kedai. Saya telah menjawab tetapi dengan agak ringkas melalui SMS kerana ruang yang terhad. Jadi, seperti dijanjikan kepada Saudara Azmani, melalui ruang blog Dusun Ku ini saya menjelaskan dengan panjang lebar proses penanaman petai berdasarkan kadar pengetahuan saya.

Memang benar Tapah, Cemor, Bidor, Kampar adalah diantara tempat yang terdapat banyak petai yang dipasarkan dibandar2 tersebut. Jadi, proses pertama yang perlu saudara lakukan ialah memilih petai2 yang berkualiti. Iaitu matanya rapat, besar, senang dikopek kulitnya, tidak ada kerosakan disebabkan ulat dan rasanya lemak dan sedap dimakan. Saya lebih suka kepada jenis "Petai Padi" yang lebih lemak dan mendapat sambutan pasaran yang baik. Pilihlah petai yang agak tua iaitu berwarna perang atau hitam kulitnya.

Sediakan tapak semaian, seelok2nya polybag yang agak besar dalam 25cm diameter. Isikan tanah berpasir kira2 separuh polibag tersebut. Kemudian masukkan dalam sekilo baja tahi ayam dan campurkan dengan daun2 kering reput bagi lapisan kedua dalam polibag tersebut. Ini untuk memudahkan akar membiak melalui lapisan lembut daun2 kering tadi. Masukkan tanah bakar dilapisan atas dalam polibag tersebut sehingga kira2 dua inci kepermukaan polibag.


Masukkan 3 atau 4 biji petai tua kedalam polibag dan biarkan ia tenggelam sedikit (samar2 nampak) dipermukaan tanah dalam polibag. Letakkan polibag semaian tadi dibawah naungan pokok2 supaya terhindar dari panas terik matahari. Siram 2 kali sehari. Pilih hanya satu anak pokok petai yang tumbuh dalam polibag dan buangkan yang lain apabila ianya tumbuh sekitar 8 - 10 cm. Anak benih petai ini boleh dipindahkan ketapak tanaman kekal apabila tingginya menjangkau 20cm.

Petai sesuai dengan semua jenis tanah kecuali kawasan berair yang bertakung atau tanah berlumpur. Seelok2nya kawasan tanah yang agak berbukit, peroi atau tanah liat berpasir.

Satu cara lagi yang paling mudah ialah mendapatkan benih anak pokok petai melalui tapak semaian Pejabat2 Pertanian daerah yang ternyata berkualiti. Harga yang dijualkan pun agak murah iaitu kurang dari RM15/= sepokok. Saya ada membeli 3 pokok petai melalui Pejabat Pertanian ini yang saya tanam kira2 setahun dahulu. Kini Alhamdulillah, ketiga2 pokok tumbuh rendang dalam 3 meter tinggi.

Itulah sekadar yang saya tahu. Selamat menanam. Mula2 memang remeh dan susah sedikit. Tetapi bila pokok dah besar, berbuah lebat pastinya "Senyuman Tuan Akan Melebar."

InsyaAllah

Inilah Jenis Petai Padi yang terdapat di Dusun Ku

Selasa, 13 Ogos 2013

Terima Kasih & Selamat Hari Raya

Alhamdulillah. Sambutan Hari Raya Tahun ini meriah dan terima kasih kepada semua anak2, menantu2 dan cucu2 yang dapat balik beraya bersama pada tahun ini. Terima kasih juga kepada Nor Azerin yang sponsor Makan Malam Jamuan Raya Sekeluarga yang diadakan di sebuah hotel terkenal di Kuantan. Semoga kita berjumpa dan berkumpul lagi dihari Raya Qurban nanti, InsyaAllah.
Wassalam.



Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin

Isnin, 5 Ogos 2013

Salam Aidil Fitri

Assalammulaikum kepada semua pengikut blog Dusunku, sanak saudara, sahabat handai yang mengenali saya. Dikesempatan yang terbaik ini saya Mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf zahir & batin, Selamat bercuti dan Semoga bergembira bersama keluarga. Hati2 dijalanraya. Wassalam