Sabtu, 14 Januari 2012

SBPA oh... SBPA

Dalam artikel apabila aku "mencuit" sikit hal politik, aku menyebut akan mengulas beberapa isu  berkaitan dengan kebajikan rakyat seperti NFC, GSP, Awang Adib, SBPA dan lain2 lagi.

Pada mulanya aku ingin melupakan isu SBPA ini kerana ianya hanya berkaitan dengan sektor perkhidmatan melibatkan sebahagian saja rakyat. Tetapi apabila berita perlaksanaan SBPA ditangguh maka terpanggil pula aku untuk mengulasnya.

SBPA dikemukakan untuk menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM). Dari sudut positifnya sebagai seorang rakyat aku menyokong tindakan yang diambil ini kerana sudah tiba masanya satu perubahan skim perkhidmatan bagi kakitangan awam digubal kearah yang lebih baik, menarik supaya produktiviti yang dihasilkan nanti akan bertambah baik dan akan menguntungkan rakyat juga.

Walaubagaimana pun setelah meneliti dengan teliti kandungan SBPA, aku merasakan perkhidmatan awam memerlukan satu sistem yang lebih baik daripada SBPA yang dicadangkan itu.  Aku tak berminat untuk mengulas berkenaan  jurang keistimewaan ganjaran yang dicadangkan melibatkan kategori Premier 1, 2, 3 dan 4, Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Sokongan kerana ianya terlalu jelas dan nyata perbezaannya. Tetapi, aku ingin mengulas berkenaan tawaran perlaksanaan dan proses penilaianya.

Pada pendapat aku, SBPA perlu digubal lebih baik atau sekurang-kurangnya selari dengan skim yang sedang diguna pakai oleh sektor swata pada masa kini. Proses penilaian dan ganjaran dalam SBPA jauh ketinggalan dari apa yang ditawarkan oleh sektor swasta kini. KPI yang kini heboh diperkatakan oleh sektor awam sebenarnya telah dipraktikan oleh sektor swasta lebih dari 10 tahun yang lalu. Kini sektor swasta berubah kepada VBM (Value Base Management) Triple Plus, QCP (Quality Culture Process) dan sebagainya. Bagaimana kita mahu produktiviti dan tahap kecekapan & keberkesanan yang tinggi dihasilkan sama oleh sektor awam dan swasta itu sama kalau jurang tawaran penilaian & ganjaran perkhidmatannya jauh berbeza?.

Satu contoh yang paling ketara ialah dari segi penilaian. SBPA menawarkan kadar penilaian seperti berikut (Sebelum Semakan oleh Cuepacs) :-

a) 95% keatas mendapat kenaikan gaji tahunan sebanyak 15% daripada gaji pokok
b) 85% hingga 95% mendapat kenaikan gaji tahunan sebanyak 8%
c) 75% tiada kenaikan gaji
d) Dan dibawah daripada 70% disyorkan berhenti

Yang janggalnya akan berlaku apabila kakitangan tidak bernasib baik jika sekiranya mendapat ketua Jabatan atau Ketua Unit yang tidak bertimbang rasa dan yang menjadi mangsanya adalah penjawat awam bawahan.

Sebaliknya Penilaian & Ganjaran Sektor Swasta jauh berbeza dan lebih transparen. Contohnya dalam hal memberi kenaikan gaji. Setelah selesai proses perbincangan prestasi dengan kakitangan bawahanya, seorang ketua unit hanya boleh mencadangkan senarai kakitangannya yang layak untuk diberi kenaikan gaji tinggi berdasarkan prestasi kepada ketua jabatan dan selepas itu diadakan perbincangan selanjutnya diperingkat pengurusan jabatan.  Setiap ketua unit dikehendaki memberikan bukti lengkap prestasi kakitangannya diperingkat perbincangan pengurusan tertinggi dan akan dicabar pula oleh ketua2 unit yang lain supaya sesaorang kakitangan yang benar2 layak saja yang akan berjaya untuk mendapat ganjaran setimpal.

Bagitu juga dengan prestasi kakitangan yang lemah. Maka tidak ada discriminasi dalam hal ini. Peluang naik pangkat terbuka sehingga ke peringkat pengurusan atasan walaupun kakitangan itu pada asalnya hanya seorang kakitangan bawahan atau buruh biasa. Ganjaran upahan pula akan berlipatkali ganda berdasarkan prestasi produktivi "360 degree feedback" dari permulaan gaji sekitar seribu ringgit meningkat kepada puluhan ribu ringgit dipenghujung kerjaya kakitangan tersebut. Dan kakitangan yang dihargai oleh syarikatnya sudah semestinya akan berkerja bersungguh2 dan tak hairanlah sekali sekala sanggup menyiapkan tugasannya walaupun bekerja dihari kelepasan atau ada juga yang terpaksa tidur dipejabat. Aku, salah seorang dari beribu kakitangan dalam syarikat yang pernah melaluinya. Dan hasilnya syarikat yang menjadi majikan aku dulu tu sehingga kini sudah berpuluh tahun tersenarai dalam  "Fortune 500" iaitu syarikat yang terkemuka didunia. SBPA sepatutnya digubal sebagitu rupa.