Ahad, 3 Mac 2013

Astagfirrullahalngazim.....Aku Tersilap Rupanya..

Aku, dengan rendah diri memohon ampun & maaf diatas satu kesilapan takrifan dalam membuat suatu kenyataan melalui artikel yang ditulis dan disiarkan oleh aku melalui blog ini dibawah tajuk "Keraguan Mengenai Pelaburan dalam ASB bertarikh 14hb.June 2011." Sesungguhnya kenyataan dalam artikel tersebut adalah SALAH.

Aku sedar bahawa aku tidak boleh menyandarkan segala keputusan & tindakan aku hanya berdasarkan kepada fatwa atau kenyataan yang dikeluarkan oleh sesuatu badan yang berkuasa semata-mata. Allah SWT memberi aku akal fikiran untuk berfikir tanpa prejudis untuk memilih mana yang benar, sohih dan bukan bergantung kepada keputusan orang lain yang sebelum ini aku terima dipengaruhi oleh kemungkinan terdapat kepentingan keuntungan disana. Sebenarnya, keputusan yang dibuat oleh orang lain hanya perlu dijadikan panduan untuk aku memilih mana yang benar dan yang bathil.  Aku juga sedar, dihari pembalasan kelak, aku sendiri akan dipersoalkan berhubung dengan keputusan & tindakan aku manakala mereka yang berkuasa mengeluarkan fatwa sudah pasti akan menjawab dan menerima ganjaran pembalasan hanya bagi pihak mereka.

Sebenarnya seperti artikel yang aku tulis itu, aku sememangnya sudah ragu2 berhubung dengan status pelaburan dalam ASB itu TETAPI aku lindungi dengan alasan bergantung kepada fatwa kebangsaan yang dikeluarkan tanpa menggunakan akal fikiran yang Allah SWT kurniakan kepada aku untuk lebih menghalusi keputusan & tindakan yang seharusnya aku ambil.

Kenapa selepas lebih dari 2 tahun baru timbul kesedaran ini?

Jawapanya, aku insan kerdil yang lemah, yang mungkin terlebih nampak unsur duniawi mengatasi ukruawi. Sebelum ini, selepas sahaja berpencen, aku & isteri menunaikan zakat diatas sedikit wang simpanan yang telah cukup haul & nisabnya dengan memberi terus kepada orang2 susah, pusat2 kebajikan yang termasuk dalam asnaf2 yang dibenarkan. Namun, pembayaran pada awal tahun ini untuk simpanan pada tahun lepas isteriku memilih untuk terus membayar kepada Pusat Zakat Negeri sahaja. Maka disini terungkailah segala kekeliruan.

Pusat Zakat Negeri tidak mahu menerima jumlah nisab yang kami ingin membayarnya. Sebaliknya, Pegawai di Pusat Zakat tersebut meminta buku simpanan ASB untuk dikira kadar zakat yang sepatutrnya kami bayar. Jumlah zakat yang dikira oleh Pegawai Pusat Zakat ini jauh lebih rendah dari jumlah zakat yang kami kira. Maka perbincangan menyeluruh pun berlaku. Pegawai itu memberitahu yang beliau hanya menjumlahkan baki pokok yang ada dalam simpanan ASB sahaja dan menolak semua dividen tahunan yang direkodkan. Katanya, jumlah dividen itu tidak boleh diambil kerana pendapatan itu berunsurkan Haram.  Aku pun mengeluarkan hujah yang aku patuh kepada ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana aku orang biasa yang tiada kemampuan untuk mengekses dan menyelidik punca pelaburan oleh pihak pengurusan ASB. Pegawai tersebut masih tidak mahu menerima alasan aku dan mengatakan adalah salah baginya untuk bersubahat untuk mementukan kadar yang bukan hak apatahlagi untuk tujuan pembayaran zakat.

Banyak persoalan lagi yang aku tanya tetapi Pegawai ini hanya mengatakan ianya sesuatu yang amat sensitif untuk dijelaskan. Sebagai hamba Allah, beliau hanya mampu berhujah setakat itu. Sekembali dari urusan pembayaran itu aku lantas ke Bank berdekatan dan terus mengeluarkan semua simpanan aku dalam ASB dan aku pindahkan kesimpanan diInstitusi yang saban tahun mengeluarkan zakat diatas segala urusanya.

Percayalah, Setiap sesuatu yang diambil dari sumber yang meragukan apatah lagi yang haram dan tidak halal maka tidak ada keberkatan dan kerahmatan dari Allah SWT. Bagaimana amal kebajikan kita akan diterima & dirahmati Allah SWT sekiranya sumber yang kita perolehi datangnya dari sumber yang tidak diredhaiNya. Nanguzubillah Min Zalik. Ampunkan aku wahai Allah SWT yang maha esa.

Maaf aku pinta juga kepada kawan2 sekerja dulu seperti Tuan Hj. Mahmud, Tuan Haji Mohd Othman dan lain2 yang pernah berdebat dengan aku berkenaan isu ASB ini. Aku mengaku kesilapan ini.

Wassalam.