Khamis, 9 Januari 2014

Cerita Kak Lisa

Sebenarnya Kak Lisa yang aku maksudkan disini ialah Ikan Kelisa atau Arowana yang aku pelihara dari kecil sejak 2 tahun yang lalu. Ikan ini jenis "Golden High Back" aku beli dengan harga RM300/seekor bagi saiz 4 inci. Ianya betina dan nama Kak Lisa aku berikan kerana Cucu2 ku yang selalu suka mengusiknya bertanyakan nama ikan tersebut. Kini ukuran panjangnya melebihi 18 inci dan lebar 5 inci. Ikan Kelisa adalah jenis ikan yang mempunyai sifat ketenangan yang tinggi. Makan kegemarannya ialah Katak dan Cengkerik.

Ketenangan Kak Lisa berubah dalam seminggu sebelum banjir besar yang bermula pada 3/12/2013. Kak Lisa menjadi aggresif, melompat dan kurang selera makan. Mungkin makluk Allah ini ingin memberitahu aku sesuatu kejadian yang akan berlaku. Aku tak sangka yang air akan naik bagitu tinggi melebihi 4 kaki semasa banjir besar  itu. Apabila aku berpindah, Kak Lisa aku tinggalkan bagitu saja.

Aku hanya dapat balik dan masuk kerumah pada 9/12/2013. Keadaan dalam rumah pada masa itu seperti kapal karam. Semua kerusi, meja, almari, peti ais dan lain2 peralatan terbalik tunggang langgang. Tetapi, yang menakjubkan ialah akuarium bersaiz 3 kaki panjang dengan Kak Lisa didalamnya yang sebelum ini berada diatas rak besi setinggi 3 kaki kini terdampar diatas lantai yang dikelilingi oleh kerusi2 yang terbalik kira-kira 10 kaki dari tempat asal. Kak Lisa berenang berlegar2 seperti biasa. Tidak ada sebarang keretakan pada kaca akuarium sedangkan cermin alas meja makan yang jauh lebih tebal pecah bertaburan diatas lantai.

Sememangnya makluk Allah ini tidak mempunyai dosa dan Allah menyelamatkannya. Apabila aku menceritakan kepada Tawkeh Kedai Ikan akan kejadian ini beliau agak terkejut. Katanya, jarang Kelisa dapat hidup apabila terputus bekalan  elektrik dengan pam yang tidak berfungsi dan tanpa makanan. Mungkin ikan itu masih ingin bersama aku katanya. Banyak orang lain beritahunya yang akaurium mereka pecah dan ikan peliharaan terus hilang mengambil kesempatan melepaskan diri masing2.

Tetapi tidak pada Kak Lisa. Beliau masih setia menunggu walaupun mempunyai peluang untuk melepaskan diri. Aku akan terus pelihara Kak Lisa apalagi ia amat mengenali aku dan sangat manja.


Inilah Tempat Asal Kak Lisa. Tenang berenang kesana kemari.


Diatas lantai inilah Akuarium dan Kak Lisa terdampar. Photo ini diambil
setelah lantai dibersih dan Kak Lisa telah dipindahkan ke tempat asal.