Ahad, 26 Februari 2012

Lynas .....Oh Lynas.

Aku masih ingat ketika aku bekerja memimpin LPG Eastern Region dulu, aku telah berkali2 bertemu dan mengadakan perjumpaan dan mesyuarat dengan pihak pengurusan Lynas Corp. Ianya berlaku sekitar awal tahun 2008. Lynas Corp. ketika itu diterajui oleh Ketua Operasinya iaitu Micheal Chan. Beliau, berbangsa Cina berasal dari Kedah namun telah berhijrah dan menetap sebagai warga negara Australia semenjak awal tahun 90an lagi. Aku kenal rapat dengannya kerana banyak kali bermesyuarat di Pejabat aku di Kuantan, pejabatnya di Gebeng dan beberapa kali bermesyuarat di Peringkat tertinggi di KLCC. Aku juga pernah berhubung dengan Dato' Marshal Ahmad, CEO Lynas Malaysia sekarang khususnya berhubung dengan bahan bakar yang mereka perlukan untuk Lynas di Gebeng Kuantan. Bahkan Micheal Chan juga pernah membawa 2 orang Technical Expert dari Australia berbincang di pejabat ku di Kuantan. Aku juga telah dibawa melawat kawasan tapak perusahaan yang sedang dalam pembinaan di Gebeng dengan menggunakan kenderaan khas kerana kawasannya yang terlalu luas. Selain dari perbincangan aku juga dijemput menghadiri seminar pengenalan kepada pihak berkuasa tempatan dan media di hotel Hyatt, Kuantan. Jadi aku mengetahui sangat berkenaan Lynas ini.  Perbincangan yang diadakan dengan mereka tak lain ialah berkaitan dengan keperluan bahan bakar yang mereka perlukan iaitu Gas.

Walau bagaimanapun disuatu ketika Lynas menghadapi masalah dari segi  pembiyaan projek di Gebeng dan pembinaan terhenti agak lama juga. Pertengahan tahun 2009, kabarnya Negara Cina telah bersetuju untuk membiayai projek Lynas di Malaysia. Micheal Chan memberitahu yang beliau kemudiannya telah menamatkan perkhidmatan dengan Lynas dan kembali menetap di Australia. Orang baru dan consultant yang dilantik mengambil alih projek pembinaan di Gebeng. Aku pula bersara pada pertengahan tahun 2010. 

Namun, pada pendapat aku, untuk memprotes Lynas pada peringkat ini adalah kurang bijak. Ia sepatutnya dibantah pada peringkat awal pembinaan iaitu sekitar tahun 2008. Mungkin diperingkat teknikal, orang memprotes kerana mungkin terdapatnya bahan radioaktif pada "rare earth" apabila melalui proses "cracking" dan inilah isu yang Lynas menafikan bahawa tiada lebihan radioaktif melebihi tahap selamat yang akan diprosesnya. 

Akan tetapi bagiku sebagai penduduk Kuantan, kita sepatutnya memprotes bagaimana dan dimana sisa bahan buangan tanah (rare earth residue) yang akan dibuangkan oleh Lynas selepas memprosesnya. Ini ialah kerana sisa bahan buangan tanah ini telah hilang semua ingradient nya dan jika ia dibuang di kawasan Kuantan, mungkin akan meneutralise kan tanah yang ada di persekitaran  yang akan menyebabkan tanah persekitaran tidak lagi subur. Pokok2 akan berkurangan dan eqo system akan terganggu. Secara tidak langsung akan melibatkan sistem penafasan dan kehidupan manusia. Khususnya disini kesannya akan merosakkan alam sekitar.

Apakah kerana inginkan hasil pelaburan perusahaan kita sanggup bertolak ansur dengan mengorbankan suasana alam persekitaran yang sihat?????.

Bukan soalan politik tu...Tapi nak hidup lama dan sihat..... aku turut memprotesnya..

Gambar yang aku ambil sendiri dikawasan sebelah kiri Padang MPK4

Petikan Gambar dari Malaysiakini (Dari kawasan hadapan Padang MPK4)

Gambar yang aku ambil dari kawasan tengah padang MPK4

Rabu, 22 Februari 2012

Alhamdulillah....Selamat Kembali Ke Tanah Air Ku.



Alhamdulillah, kesemua ahli rombongan seramai 120 orang yang berlepas mengerjakan Haji Umrah melalui Yamani Travel selamat kembali ketanah air. Setinggi2 tahniah kepada Yamani Travel yang menguruskan semua aktiviti dengan professional, cekap, berkesan dan mengkagumkan. Aku pernah mengikuti beberapa program ziarah & umrah sebelum ini melalui agensi2 yang terkenal namun padaku perkhidmatan yang disediakan oleh Yamani Travel ini adalah yang terbaik pernah aku ikuti.  Kos pakej amat berpatutan dan tak sampai pun RM5,000 seorang untuk 12 hari namun kesungguhan pihak Pengurusan Yamani terutamanya Pengarah Urusannya iatu Haji Othman dan isterinya Ustazah Yaminah mengurus, memberi taklimat dan mengendalikan lawatan amat baik sekali.

Yang paling aku puas hati sekali ialah penyediaan makanan terutamanya ketika berada di Mekah amat mengkagumkan. Jenis dan rasa masakannya adalah selera Malaysia. Hinggakan masakan Ikan Patin pun ada disediakan.  Aku yang tidak makan daging atau ayam turut berasa lega kerana pilihan lauk lain pasti ada. Sekurang2nya ada sambal belacan tumbuk (bukan dimesin) merupakan menu tetap disediakan bagi setiap kali waktu makan.

Aku ada banyak mengambil gambar semasa ziarah & umrah namun agak malang Camera aku hilang di Madinah 2 hari sebelum pulang. Banyak gambar2 yang diambil didepan Kaabah, di Raudah dan sebagainya hilang bersama camera ku itu. 

Aku juga agak terkilan kerana beberapa keping gambar yang aku ambil ketika aku pergi menziarahi Perkuburan Maqla di Mekah juga lesap bersama Camera tersebut. Di Perkuburan ini terdapat terlalu banyak petak2 perkuburan yang hanya bertandakan 2 ketul batu putih bagi setiap liang lahat. Aku tercari2 dimana disemadinya mayat ibuku kerana semua petak liang lahat adalah sama dan tidak bernama. Dalam suasana sayu dan sedih serta dengan lenangan airmata aku puashati kerana dapat sedekahkan fatihah dan doa untuk Arwah Ibu di kawasan perkuburan ini. Aku tahu, ibuku pasti tahu yang aku datang menziarahinya.

Namun ada sedikit gambar yang aku ambil menggunakan handset ketika dalam perjalanan pulang yang boleh aku muat turun seperti dibawah.

Aku dengan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli rombongan yang bagitu mesra dan memberikan sepenuh kerjasama sepanjang program diatas.

InsyaAllah kita berjumpa lagi.

Wassalam.

Dalam Bas perjalanan pulang dari Madinah ke Jeddah

Berihat sebentar di Masjid Terapung di Jeddah. (Dibawah & belakangnya adalah Laut Merah

Haji Othman, Pengarah Urusan Yamani Travel. Mesranya beliau

Tawar menawar membeli barangan cincin & minyak wangi

Sedang menunggu di Airport Jeddah

Setiap kali aku lakukan lawatan keluar negara badanku pasti susut & kurus sikit

Melepak di Colombo Airport menunggu transit

Tunggu lagi....

Melepak kat Colombo Airport

Jumaat, 3 Februari 2012

Keistimewaan Angka 7

Aku percaya setiap orang mempunyai sesuatu angka yang mereka suka. Bagitu juga dengan aku. Angka yang paling aku suka sekali ialah angka "7". 

Istimewa angka 7 menurut Islam

Dari sudut Agama Islam, Alfatihah, penghulu segala surah terdiri dari 7 ayat termasuk Bismillah. Surah Alfatihah merupakan surah wajib yang menjadi bacaan rukun dalam solat. Tak sah solat kalau tak baca fatihah. Rukun Solat yang ke 7 pula ialah Sujud. Untuk Sujud menjadi sah, 7 dari anggota badan mesti turut mencecah bumi ketika Sujud. Anggota tersebut ialah Muka termasuk Dahi & Hidung, Dua Perut Tapak Tangan, Dua Lutut dan Perut Ibu Jari bagi kedua kaki. Solat diperintahkan untuk dilaksanakan apabila kanak2 mencapai umur 7 tahun. Ada 7 takbir dalam rakaat pertama Sembahyang Raya. Dalam AlQuraan ada 7 Surah yang Panjang selebihnya adalah sederhana dan pendek. Ayat Qiamat dalam AlQuraan disebut 77 kali bagitu juga dengan kalimat Jahanam disebut 77 kali. Ada 7 jenis air yang boleh digunakan untuk mengambil air sembahyang seperti Air Hujan, Air Telaga, Air Sungai, Air Laut, Air Matair, Air Embun dan Air Salji yang cair. Pengerjaan Ibadat Haji seperti Saei, Melontar di Jamrah, Tawaf semuanya dilakukan ber 7 kali. Ada 7 jenis Syurga dan 7 jenis Neraka.


Istimewa angka 7 menurut tafsiran Dunia

Dalam kehidupan seharian pula kita sering mendengar keistimewaan angka 7. Ada 7 hari dalam seminggu. Ada 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi. Ada 7 benua dan 7 lautan didunia ini. Ada 7 warna dalam warna2 Pelangi. Antarabangsa mengiktiraf penggunaan ungkapan 7 keajaiban Dunia atau "7 wonders of the world". Computer menggunakan angka 7 seperti Window 7. (Kenapa tak digunakan Window 3, 5, 1 atau lain2 angka- Wallahualam). Perisik Pintar dalam filem Inggeris mengunakan ajen 007.  Disudut perubatan tradisional juga mengiktiraf angka 7 seperti Mandi 7 jenis bunga, 7 jenis air perigi, 7 jenis air kolah,  Sumpahan Sial 7 keturunan.

Istimewa angka 7 kepada aku

Aku dilahirkan pada 7 haribulan, bulan 7 kebetulan dinegeri yang kodnya 07. Jadi selalunya terjadi bahan guruan apabila kerani bank, hotel dan sebagainya menyuruh aku membaca no kad pengenalan. Aku baca bermula dengan tahun kelahiran 55 kemudian aku kata 07, kerani kata OK, aku sambung lagi 07, dia kata OK sambil mencatitnya. Aku sambung lagi 07, kali ini kerani kata OK dah catit dah. Tetapi aku kata memang ada lagi 07 membuatkan setiap kali aku baca no IC terpaksa diulang dan membuat pengesahan berkali2. Hikmahnya tak pernah silap catit.

Bulan 7 juga merupakan bulan yang paling aku nanti2kan semasa bekerja dulu. Ini ialah kerana Tahun Kewangan Petronas berakhir pada bulan 3 setiap tahun. Maka kenaikan gaji tahunan, pengumuman anugerah perkhidmatan cemerlang dan semakan kenaikan pangkat diumumkan dalam bulan 7 setiap tahun. Apalagi, setiap tahun selama 28 tahun berturut2 bekerja di Petronas aku mendapat anugerah cemerlang dengan kenaikan gaji berganda diumumkan dalam bulan 7. Satu pencapaian bagiku yang amat membanggakan kerana kakitangan yang mendapat anugerah cemerlang dan gaji berganda walaupun untuk satu tahun perkhidmatan tidak ramai iaitu beberapa orang saja dari berpuluh dan beratus orang dalam sesuatu unit jabatan. Dan rezeki Allah serta mungkin tuah bulan 7 aku mendapat anugerah cemerlang dan kenaikan gaji berganda berterusan sepanjang 28 tahun perkhidmatan dengan Petronas. Bahkan aku mendapat berbelas kali kenaikan gred dan pangkat kerana aku bermula diperingkat bawah sebagai seorang buruh hingga keperingkat pengurusan semuanya diumumkan dalam bulan 7.

Demikianlah bagaimana nostalgianya angka 7 dalam kehidupanku. Yang terkini ialah aku, isteri dan kakaknya  dijadualkan berangkat mengerjakan Umrah pada 3hb. February 2012. Menakjubkan disini ialah tarikh berangkatnya kami pada 3/2 itu telah ditunda kepada 7 haribulan iaitu 7/2/2012 dengan penerbangan berlepas dari KLIA jam 7 pagi. Apakah segala2nya ini berlaku secara kebetulan hanya Allah SWT saja yang mengetahui.

Pada semua sanak saudara, sahabat handai, pengunjung dan pengikut blog, ampun maaf aku pinta sekiranya ada terkasar bahasa, keterlaluan cara. Semoga niat yang baik direstui Allah SWT.
Amin & Wassalam.