Aku percaya setiap orang mempunyai sesuatu angka yang mereka suka. Bagitu juga dengan aku. Angka yang paling aku suka sekali ialah angka "7".
Istimewa angka 7 menurut Islam
Dari sudut Agama Islam, Alfatihah, penghulu segala surah terdiri dari 7 ayat termasuk Bismillah. Surah Alfatihah merupakan surah wajib yang menjadi bacaan rukun dalam solat. Tak sah solat kalau tak baca fatihah. Rukun Solat yang ke 7 pula ialah Sujud. Untuk Sujud menjadi sah, 7 dari anggota badan mesti turut mencecah bumi ketika Sujud. Anggota tersebut ialah Muka termasuk Dahi & Hidung, Dua Perut Tapak Tangan, Dua Lutut dan Perut Ibu Jari bagi kedua kaki. Solat diperintahkan untuk dilaksanakan apabila kanak2 mencapai umur 7 tahun. Ada 7 takbir dalam rakaat pertama Sembahyang Raya. Dalam AlQuraan ada 7 Surah yang Panjang selebihnya adalah sederhana dan pendek. Ayat Qiamat dalam AlQuraan disebut 77 kali bagitu juga dengan kalimat Jahanam disebut 77 kali. Ada 7 jenis air yang boleh digunakan untuk mengambil air sembahyang seperti Air Hujan, Air Telaga, Air Sungai, Air Laut, Air Matair, Air Embun dan Air Salji yang cair. Pengerjaan Ibadat Haji seperti Saei, Melontar di Jamrah, Tawaf semuanya dilakukan ber 7 kali. Ada 7 jenis Syurga dan 7 jenis Neraka.
Istimewa angka 7 menurut tafsiran Dunia
Dalam kehidupan seharian pula kita sering mendengar keistimewaan angka 7. Ada 7 hari dalam seminggu. Ada 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi. Ada 7 benua dan 7 lautan didunia ini. Ada 7 warna dalam warna2 Pelangi. Antarabangsa mengiktiraf penggunaan ungkapan 7 keajaiban Dunia atau "7 wonders of the world". Computer menggunakan angka 7 seperti Window 7. (Kenapa tak digunakan Window 3, 5, 1 atau lain2 angka- Wallahualam). Perisik Pintar dalam filem Inggeris mengunakan ajen 007. Disudut perubatan tradisional juga mengiktiraf angka 7 seperti Mandi 7 jenis bunga, 7 jenis air perigi, 7 jenis air kolah, Sumpahan Sial 7 keturunan.
Istimewa angka 7 kepada aku
Aku dilahirkan pada 7 haribulan, bulan 7 kebetulan dinegeri yang kodnya 07. Jadi selalunya terjadi bahan guruan apabila kerani bank, hotel dan sebagainya menyuruh aku membaca no kad pengenalan. Aku baca bermula dengan tahun kelahiran 55 kemudian aku kata 07, kerani kata OK, aku sambung lagi 07, dia kata OK sambil mencatitnya. Aku sambung lagi 07, kali ini kerani kata OK dah catit dah. Tetapi aku kata memang ada lagi 07 membuatkan setiap kali aku baca no IC terpaksa diulang dan membuat pengesahan berkali2. Hikmahnya tak pernah silap catit.
Bulan 7 juga merupakan bulan yang paling aku nanti2kan semasa bekerja dulu. Ini ialah kerana Tahun Kewangan Petronas berakhir pada bulan 3 setiap tahun. Maka kenaikan gaji tahunan, pengumuman anugerah perkhidmatan cemerlang dan semakan kenaikan pangkat diumumkan dalam bulan 7 setiap tahun. Apalagi, setiap tahun selama 28 tahun berturut2 bekerja di Petronas aku mendapat anugerah cemerlang dengan kenaikan gaji berganda diumumkan dalam bulan 7. Satu pencapaian bagiku yang amat membanggakan kerana kakitangan yang mendapat anugerah cemerlang dan gaji berganda walaupun untuk satu tahun perkhidmatan tidak ramai iaitu beberapa orang saja dari berpuluh dan beratus orang dalam sesuatu unit jabatan. Dan rezeki Allah serta mungkin tuah bulan 7 aku mendapat anugerah cemerlang dan kenaikan gaji berganda berterusan sepanjang 28 tahun perkhidmatan dengan Petronas. Bahkan aku mendapat berbelas kali kenaikan gred dan pangkat kerana aku bermula diperingkat bawah sebagai seorang buruh hingga keperingkat pengurusan semuanya diumumkan dalam bulan 7.
Demikianlah bagaimana nostalgianya angka 7 dalam kehidupanku. Yang terkini ialah aku, isteri dan kakaknya dijadualkan berangkat mengerjakan Umrah pada 3hb. February 2012. Menakjubkan disini ialah tarikh berangkatnya kami pada 3/2 itu telah ditunda kepada 7 haribulan iaitu 7/2/2012 dengan penerbangan berlepas dari KLIA jam 7 pagi. Apakah segala2nya ini berlaku secara kebetulan hanya Allah SWT saja yang mengetahui.
Pada semua sanak saudara, sahabat handai, pengunjung dan pengikut blog, ampun maaf aku pinta sekiranya ada terkasar bahasa, keterlaluan cara. Semoga niat yang baik direstui Allah SWT.
Amin & Wassalam.