Alhamdulillah. Syukur ke Hadrat Allah SWT, kerana memberi aku peluang bernafas lagi di bumi bertuah ini. Memberi aku peluang menghirup sepuas-puasnya udara, menikmati keindahan panorama dunia, berpeluang menjelajahi pelusuk rantau nusantara dan sebahagian pelusuk bumi yang terbentang luas.
Alhamdulillah. Syukur ke Hadrat Allah SWT, kerana memberi aku kesihatan yang terbaik. Kesempurnaan anggota, deria dan pancaindera. Kekuatan tenaga dan minda. Rezeki yang melimpah. Memberi aku peluang berfikir, bergerak, berbicara, beriadah dan beribadah kepada yang Maha Pencipta.
Alhamdulillah. Syukur ke Hadrat Allah SWT, kerana memberi aku keluarga yang bahagia, anak2 yang manja dan berjaya, keharmonian rumah tangga, kedamaian dalam masyarakat seranta dan dikelilingi rakan2 karib bertakwa dan berakhlak mulia.
Alhamdulillah. Syukur ke Hadrat Allah SWT, kerana menghindarkan aku dari sebarang bala, musibah dan petaka, menghindarkan dugaan dan cabaran pancaroba berbanding dikala usiaku meningkat remaja.
Alhamdulillah. Syukur ke Hadrat Allah SWT, kerana memberi aku kesedaran untuk lebih mendekati Mu ya Allah. Patuh segala suruhan Mu ya Allah. Menjauhkan diri dari mendekati larangan Mu ya Allah. Lebih menghayati dan mengingati ayat-ayat Mu ya Allah.
Permulaan diusia yang baru hari ini, aku mulakan dengan langkah yang mulia ya Allah. Secara kebetulan diawal dinihari aku diminta memimpin solat dirumah mu ya Allah. Lalu aku membaca ayat2 suci Mu dari Surah Al Baqarah bermula ayat 38 hingga ayat 57. 19 ayat ini menceritakan bahawa Allah SWT menyuruh hambaNya supaya sentiasa bertaqwa, patuh kepada suruhanNya, mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat dan sesungguhnya Allah SWT akan sentiasa bersama orang2 yang bertaqwa. Allah SWT ceritakan juga bagaimana Ia menurunkan bala kepada orang2 yang engkar, zalim dengan mengambil contoh menenggelamkan bala tentera firaun ketika mengejar Nabi Musa.
Dalam kekusyukkan aku membaca membuatkan aku mengulang beberapa kali ayat 45 yang bermaksud "Mintalah pertolongan kepada Allah dengan sentiasa bersabar dan mengerjakan sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang2 yang khusyuk".
Akhir kata, terima kasih kepada isteri, semua anak2, cucu2, rakan2 rapat yang mengutuskan ucapan sempena tarikh lahirku. Semoga Allah SWT merahmati kalian.
Amin & Wassalam.