Ahad, 26 Jun 2011

Alhamdulillah. Lagi Hasil dari Dusun Ku

Semalam, aku memetik sebiji Nangka Madu Mastura dan setandan Pisang dari Dusun Ku. Nangka madu ini beratnya hanya 12 kg. Pokok ini baru mula2 nak berbuah. Memang benar, isinya terlalu manis dan lemak rasanya.

Aku pula memang suka buah nangka. Kalau diberi pilihan diantara nangka dan durian, aku pasti pilih nangka. Aku bukan saja suka makan buah nangka yang masak, malah aku suka gulai nangka, kerabu nangka dan ulam nangka rebus. Isteri aku akan memasak gulai nangka + ikan bilis atau udang sekurang-kurangnya sebulan sekali. Kawan2 sekariah masjid pun tahu kegemaranku ini. Kadang2 merekalah yang menghantar nangka muda kerumahku.

Semasa aku membeli dusun ini tiada ada sebatang pokok nangka pun yang ditanam. Oleh yang demikian, apabila dusun ini menjadi milikku nangkalah jenis pokok pertama yang aku tanam. Kini aku mempunyai 18 pokok nangka di Dusun Ku.

Sebiji Nangka madu Mastura dan Setandan Pisang dari Dusun Ku

Isi nangka yang kuning & padat

Terlalu Manis dan Terasa Lemaknya


Keberkatan

Aku sudah lama ingin menulis berkenaan "Keberkatan". Ketenangan jiwaku sedikit tergugat bimbangkan bagaimana generasiku akan menempuhi kehidupan yang penuh pancaroba ini. Situasi dunia semakin berkembang pesat. Manusia terus mengejar kebendaan dan kemewahan walaupun sumber dan dana semakin berkurangan. Sara hidup kian meningkat. Tetapi manusia rakus masih mengejar impian. Adakalanya mereka terlupa akan peraturan & undang2, halal dan haram. Melihatkan keadaan ini aku bimbang generasiku terikut-ikut arus perubahan meterialistik. Dan yang paling aku takuti, mereka kecundang diperjalanan.

Justeru, aku menulis artikel "Keberkatan" ini khusus untuk anak2ku dan generasiku yang akan datang. Sekurang2nya aku telah melaksanakan tugasku untuk berdakwah dan menyuruh berbuat kebaikan kepada generasiku.

Aku mendefinasikan keberkatan sebagai "Suatu rahmat Allah yang dikurniakan kepada hambanya yang soleh, taat kepada Allah dan sentiasa melakukan kebaikan yang berterusan dan berpanjangan."

Contoh keberkatan yang mudah difahami adalah seperti merujuk kepada sesaorang yang makan nasi.  Ada orang yang makan nasi 2 atau 3 pinggan baru kenyang. Ada orang makan 4 kali sehari.  Ada orang tercari-cari lauk yang paling sedap setiap hari. Terutama dibulan puasa. Ada orang yang sanggup menghabiskan wang ringgit untuk menikmati makanan yang paling sedap. Bahkan ada orang yang matlamat hidupnya untuk makan. Ada orang kaya yang mempunyai seorang atau dua orang anak saja tapi tiada kebahagian dalam rumah tangga. Ada pelajar yang tekun belajar sepanjang masa tapi masih gagal dalam peperiksaan. Ada orang berkerja berpuluh tahun pada jawatan yang sama. Ada orang yang sentiasa jatuh sakit atau pun mendapat pakej penyakit berbahaya. Ada orang yang mempunyai harta yang banyak, rumah besar, kereta besar tetapi hutang keliling pinggang dan hidup yang tidak tenteram.

Tapi, kita lihat pula situasi sebaliknya. Ada orang yang makan setengah pinggan nasi sudah kenyang. Ada orang makan sekali sehari dan sentiasa berpuasa tanpa merasa lapar. Ada orang sudah memadai dengan lauk 1 atau 2 jenis saja. Bahkan pada orang ini matlamat makan adalah untuk hidup. Suasana juga mempengaruhi situasi. Kalau di Mekah, orang yang membuka puasa dengan dua tiga butir kurma dan secawan air sudah terasa kenyang.  Ada orang yang mempunyai anak ramai (12 ke 13 orang) dengan pendapatan yang sedikit mampu membina kehidupan yang bahagia. Ada pelajar yang sentiasa mendapat keputusan cemerlang walaupun dengan sekadar usaha. Ada pekerja yang sentiasa mendapat kenaikan pangkat. Ada orang yang sentiasa sihat dan jarang jatuh sakit. Ada orang yang mempunyai rumah sederhana, kereta sederhana tetapi bahagia dan tenang dalam kehidupan. Dan berbagai2 lagi yang boleh dijadikan contoh.

Kedua2 situasi diatas menunjukkan bahawa Allah telah mengurniakan rahmat & keberkatannya kepada hamba yang dikehendakiNya. Pastinya hanya hamba yang taat, beriman, beramal soleh dan bertakwa saja akan dikurniakan rahmat & keberkatanNya.

Apa yang kita kejar dalam kehidupan didunia ini sebenarnya?.  Kekayaan?, Kuasa?, Pengaruh?.
Semuanya itu adalah nafsu semata.

Banyak kali kita dengar ada orang kaya yang menamatkan riwayat hidupnya sendiri. Orang yang berkuasa ada yang ditangkap dan dipenjara. Orang yang berpengaruh dicerca oleh pengikutnya sendiri. Semuanya ini terjadi ialah kerana tidak ada rahmat keberkatan diatas usaha mereka yang mungkin dilakukan secara tidak jujur, amanah dan ikhlas.

Justeru, apa yang kita mahukan dalam kehidupan ini adalah satu ketenangan jiwa yang sentiasa dirahmati dan diberkati Allah. Kita hidup dalam ketenangan dan kegembiraan, disenangi masyarakat.

Tidak salah untuk berusaha mengejar kejayaan didunia TETAPI mesti dilakukan dalam batas2 yang diredai ALLAH dan pastinya segala usaha tersebut akan diberkati & dirahmati Allah.

Sebenarnya amat mudah untuk dirahmati & diberkati Allah. Pastikan perkara2 berikut dilakukan:-


1.    Sentiasa mendekati Allah dengan melakukan suruhanNya dan mengamalkan RUKUN ISLAM
       iaitu seperti mengerjakan solat, puasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji apabila mampu.
2.    Jauhi larangan Allah dari melakukan perkara2 yang mungkar.
3.    Sentiasa amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Jangan ponteng, mencuri tulang,
       menipu, mengambil barangan yang bukan hak kita.
4.    Kuatkan ukhwah dan eratkan silratulrahim tanpa mengira orang bawah atau atasan. Sentiasa
       baik sangka dan bersikap positif. Bertimbang rasa dan penyayang.
5.    Jadilah orang yang pemurah dengan sentiasa bersedekah.


Pada kali ini aku ingin mengulas lanjut berkenaan perkara yang nombor 3 diatas sahaja.

Ingatlah pendapatan atau upah yang kita dapat dari pekerjaan kita adalah rezeki dari titik peluh kita sendiri. Ianya pasti akan diberkati & dirahmati Allah sekiranya rezeki yang diperolehi itu halal. Elakkan terlibat dari unsur2 haram. Contohnya seperti claim perjalanan; seboleh2nya tolak 10 km dari setiap jarak perjalanan sebenar yang hendak dituntut. Mithalnya, kalau dari Kuantan ke Temerloh jaraknya 120 km, claim hanya 110 km sahaja. Takut2, kalau hanya mengikut meter kilometer kereta, mana tahu mungkin kita tersinggah atau terlencong ditempat2 yang diluar bidang tugas kita yang akan membuatkan kita makan claim yang haram. Takrif Haram dalam Islam adalah universal dan sama. Makan daging babi itu haram. Makan makanan yang selalu kita syaki dan cuba elak itu haram. Samalah dengan makan hasil yang ditipu itu juga hukumnya Haram. Tidak ada istilah haram kecil dan haram besar dalam Islam. Haram tetap haram.

Elakkan dari mengambil MC yang tidak betul. Kita boleh menipu manusia atau majikan tapi kita tidak boleh menipu Allah. Haram kita mendapat upah pada hari yang kita sepatutnya bekerja tetapi tidak bekerja. Mungkin kita tak nampak kesannya pada masa kini tetapi kesan makan benda haram akan pasti dilihat kemudian seperti kita betul2 jatuh sakit atau mendapat sakit teruk, kemalangan, anak2 sakit, rumah terbakar, dimasuki pencuri, anak mendatangkan masalah, terlibat dengan dadah dan sebagainya sebab sumber wang haram yang kita makan atau belanjakan kepada tanggungan kita.

Patuhi waktu berkerja. Adakalanya kita terlambat masuk kerja maka luangkan sadikit masa untuk pulang lewat sedikit. Jangan berkira sangat dengan syarikat atau majikan tetapi awaslah akan upah yang akan kita perolehi benar2 rezeki yang halal.

Jangan ambil barang2 yang bukan hak kita walaupun sebatang pensil. Saidina Omar menggunakan 2 lilin atau pelita dirumahnya. Satu pelita digunakan untuk bertugas adalah hak baitulmal. Beliau akan memadamkan pelita baitulmal dan menggunakan pelita sendiri apabila melakukan kerja2 peribadi. Lihatlah betapa telitinya Saidina Omar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk mengelakkan dari melakukan perbuatan subahah yang menjurus kepada haram.

Alhamdulillah, kita akan berasa ketenangan yang amat sangat dan merasai kententeraman hidup apabila segala usaha kita diberkati & dirahmati Allah. Tidakkah ini yang kita harap2kan semasa kita masih berada di dunia ini.

Inilah kekayaan & kejayaan sesaorang insan sebenarnya.

Jangan sekali2 kita membandingkan kejayaan orang2 kafir yang sentiasa bersumberkan benda & tingkah laku haram tetapi hidup dalam kemewahan. Kerana mereka hanya mempunyai kebahagian kehidupan didunia semata. Sebaliknya kita mahukan kebahagian didunia dan juga akhirat.

Ibnu Abduh pernah berkata: Sesungguhnya Islam itu baik dan sempurna. Tetapi ianya terlindung kepada orang2 kafir kerana dilindungi oleh tingkah laku orang2 Islam yang buruk akhlaknya.

Renung2kan lah.

Wassalam

Selasa, 14 Jun 2011

Keraguan mengenai pelaburan dalam ASB

Sebenarnya, pada awalnya aku memang meragui pelaburan dalam ASB ini. Kebanyakkan dari kawan2 ku yang ditanya juga mengatakan pelaburan dalam ASB ini meragui dan situasi ini boleh terjurus kepada haram.

Justeru, kepada siapakah yang aku boleh dapatkan kepastian berkenaan masalah ini. Maka aku merujuk kepada pendapat ulamak iaitu mereka yang arif dan mendalami hukum hakam Islam. Sekurang-kurang mereka ada pengetahuan, ilmu dan nas-nas yang semestinya lebih berpengetahuan dari aku dan kawan2 aku tadi. Jadi aku terus merujuk ke beberapa halaman web & blog yang dimiliki oleh Mufti2 sebagai usaha untuk mendapat kepastian yang jelas.

Mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan yang di Perkenankan oleh Agung; Hukum pelaburan dalam ASB adalah HARUS.

Kebanyakkan dari Mufti yang menganggotai Majlis Fatwa terutamanya Mufti Perak dan Sarawak mengatakan pelaburan dalam ASB itu halal.

Kesimpulanya : Sebagai rakyat biasa yang sentiasa patuh kepada hukum dan fatwa yang dikeluarkan oleh Ulamak contohnya seperti patuh kepada pengistiharan Puasa, Raya, Haram Halal dalam bidang permakanan maka adalah diluar bidang kemampuanku untuk mencabar keputusan Majlis Fatwa. Maka pelaburan ku adalah berdasarkan Fatwa Mereka.

Wassalam.

Dari Majlis Fatwa Kebangsaan (Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my.)


Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya:

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Keputusan (English):


Investing in ASN, ASB and Alike

Decision:

The 80th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 1st -3rd February 2008 has discussed the ruling on investing in ASN, ASB and alike. The committee has decided that the ruling on investing in ASN, ASB, the dividends and the bonuses gained are permissible.


Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my.

PINJAM DUIT DARI BANK UNTUK SERTAI ASB

Walaupun isu di atas masih diperdebatkan oleh mereka yang berkenaan, namun jika anda meminjam dari Bank Konvensional untuk tujuan menyertai pelaburan ASB, ia telah disepakati haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua mufti-mufti Malaysia. Ini kerana pinjaman wang dari bank konvensional tersebut adalah riba. Tatkala itu, isu ASB tidak perlu diambil kira lagi kerana asal cara dapat duit untuk melabur itu pun sudah haram.


Pendapat Menurut Dr Asmadi

Dr Asmadi Mohamed Naim
(Berkelulusan PhD & Sarjana (Fiqh & Usul Fiqh)(UIAM), B. Syariah (Fiqh & Tasyri')Universiti of Jordan)


ULASAN UST ZAHARUDDIN BIN ABDUL RAHMAN MENGENAI FATWA ASB DAN ASN HARUS (PERNAH DI SIARKAN DLM BLOG INI BERTARIKH 6 FEB 2008)

Ramai yang bertanya respond saya, ada yang suka dan ada yang keliru. Apa pandangan saya?, Pandangan saya adalah anda tidak perlu keliru lagi dan orang awam boleh menyertainya dan Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor yang dipimpin oleh bekas Muftinya iaitu Al-Marhum Dato' Hj Ishak Baharom telah terbatal akibat keputusan ini. Orang ramai adalah harus menyertai ASB dan ASN disebabkan majlis fatwa kebangsaan telah mengesahkan kehalalannya dan menanggung apa jua urusan berkaitannya di dunia dan akhirat. Ini adalah satu perkara biasa yang ditanggung oleh para ulama, sama juga seperti Majlis Penasihat Shariah yang ada di Institusi Kewangan Islam. Kesannya, apabila telah wujud fatwa umum sebegitu, kini ia terpulang kepada masing-masing untukmembuat keputusan sendiri, ia sama seperti logo JAKIM. Siapa yang ingin bergantung kepadanya, adalah harus dan siapa yang ingin membuat kajian lanjut dan bersikap lebih berhati-hati, pandai-pandailah memilih yang lebih selamat. Itu saja.

Saya juga telah hubungi seorang S.S Mufti, beliau kata hujjah utama Majlis Fatwa adalah "MASLAHAT". Ini beerti majlis fatwa bukannya mengesahkan sistem dan cara pelaburan ASB dan ASN yang sedia ada tetapi ia diluluskan atas dasar 'Maslahat' atau kepentingan ramai (mungkin kerana terlalu ramai orang Islam yang telah terlibat dan fatwa mengharamkan akan mengakibatkan kekalutan yang tidak tergambar), hasilnya ia difatwakan harus.

Dr. Asmadi

Sabtu, 4 Jun 2011

Untungnya berbakti pada tanah



Pagi tadi, aku dan isteri pergi ke Dusunku untuk melakukan kerja2 pembersihan biasa disamping untuk menggerakkan otot2 dan mengeluarkan peluh supaya kami sentiasa cergas dan sihat.

Rezeki kami agak baik pada hari ini apabila melihatkan pucuk2 keledek dan ubi kayu tumbuh dengan segar.  Maka teringin pula nak makan ulam pucuk keledek rebus dan juga masak lemak cili api pucuk ubi kayu dengan ikan bilis. Maka isteriku pun memetik pucuk2 ulam tersebut. Dalam pada petik memetik dan kais mengais itu isteriku ternampak ubi keledek yang timbul dipermukaan tanah. Apalagi, beliau terus mencabut sepohon dua pokok keledek berkenaan.

Alhamdulillah, inilah rezeki berbakti pada tanah, banyaknya ubi dan besar2 pulak tu. Beliau hanya mencabut beberapa pokok saja untuk makan sendiri dan bukan untuk dijual.

Yang enaknya, sayur tanaman sendiri ni amat sedap bila dimakan. Terasa manisnya dan tak ada racun dan bahan kimia. Fresh asli gitu..


Sebelah kiri tu Pucuk Keledek. Tengah tu ubinya yang belum dibasuh lagi dan sebelah kanan pucuk ubi kayu


Tak tunggu lama. Pada petangnya isteriku pun memasak cucur kodok ubi keledek. Ho...sedap dan manis sungguh rasanya. Sepinggan yang digoreng habis sekelip mata. Pucuk keledek dan ubi kayu belum dimasak. Hari nie kami makan kenduri kahwin saja dan dua jemputan. Besok ada lagi jemputan kat Tembeling Resort. Jadi besok mungkin tak masak nasi lagilah. Isteri kata, besok dia nak masak Mee Jawa saja menggunakan keledek untuk dibuat kuah. Ha.....nie yang aku tak sabar nak tunggu esok nih.


Sebahagian dah dibuah Cucur kodok keledek