Ahad, 10 Julai 2011

Bersih!!!!! oh Bersih!!!!



Aku memang tak mahu lepaskan peluang ini untuk terlibat sendiri dalam perhimpunan Bersih di K. Lumpur pada 9/7/11. Bagi ku, peluang untuk terlibat secara langsung adalah sukar untuk diperolehi. Jadi, aku mengambil keputusan menghadirinya.

8/7/2011

Jam 9 pagi,  aku bertolak ke K. Lumpur dari Kuantan dengan menaiki bas kerana ianya lebih mudah untuk melepasi roadblock dan sebagainya. Jangkaan aku tepat iaitu apabila tiba di Tol Karak terdapat "long que" akibat roadblock oleh polis. Beratus kenderaan ditahan dan diperiksa. Bas yang aku naiki diarah ketepi dan 2 orang anggota polis naik membuat pemeriksaan. Yang kena tahan pula ialah orang Bangladesh kerana mungkin pasal pasport atau dokumen tak lengkap.

Jam 12.30 tengahari bas tiba di K. Lumpur dan aku turun di Stesen Pekeliling. Suasana sesak pada ketika ini. Aku menaiki LRT dan terus ke rumah di Ara Damansara.

9/7/2011

Seperti biasa aku bangun seawal jam 5 pagi untuk bersembahyang subuh di Surau Apartment tempat tinggal aku. Setiap kali aku bersembahyang Subuh di Surau Ara Damansara ini aku di minta menjadi Imam. Pagi ini aku membaca surah Al Hasyr, ayat ke 11, "Alam taraillallazi nakafaru"  hingga ayat 24 "Wahuwal ngazizulhakim" yang menceritakan berkenaan kekuasaan Allah berhubung dengan keangkuhan dan kesombongan segulongan manusia berkaitan dalam hal Pengusiran. Mungkin secara kebetulan aku akan terlibat  aktiviti sebagini pada hari ini.

Jam 8.30 pagi aku menaiki LRT dari Kelana Jaya untuk ke Pasar Seni. Aku lihat ramai polis sedang membuat pemeriksaan dilaluan masuk di LRT Kelana Jaya. Aku bernasib baik kerana dilepaskan masuk untuk menaiki LRT. Sebenarnya, aku telah menanggalkan kopiah putihku dan menyimpan didalam poket. Jadi urusan pemeriksaan lebih mudah. Kebanyakkan yang memakai songkok putih akan ditanya kemana destinasinya. Aku juga lihat polis ada membuat pemeriksaan di stesen2 LRT sepanjang perjalanan.

Jam 9.15 pagi tiba di Pasar Seni. Semua jalanraya dalam bandar kosong dan hanya dilalui oleh kenderaan polis. Aku lihat banyak truck2 polis diletak berderet sepanjang jalan berhampiran Pasar Seni. Anihnya, LRT masih dibenarkan operasi. Aku lihat melalui LRT inilah orang ramai diangkut turun dari segenap penjuru. LRT yang penuh akan kosong setelah orang turun dan LRT yang lain pula tiba.

Jam 10 pagi, orang semakin ramai tiba melalui LRT dan Train Komuter. Semua kedai termasuk restauran menutup perniagaan mereka.

Jam 11 pagi aku mengikuti orang ramai bergerak ke arah Masjid Negara. Namun Masjid Negara telah dikepung oleh polis jadi orang ramai terpaksa berkumpul di Stesen Keretapi. Train komuter juga beroperasi seperti biasa. Jadi, ramailah orang dari stesen Seremban, Kelang, Kajang, Rawang dan lain2 menggunakan train untuk ke K, Lumpur.

Jam 12 tengahari, beribu orang sedang berkumpul di stesen keretapi. Polis mula mengambil tindakan dan orang ramai terpaksa berundur ke Pasar Seni. Pada ketika ini kumpulan di Masjid Jamek telah dibedil dengan gas pemedih mata oleh polis dan mereka berlari kearah Pasar Seni menjadikan situasi semakin gawat. Crowd meningkat sehingga 6,000 orang dan polis menembak gas pemedih mata di Pasar Seni pula. Aku terpaksa berlari ke jalan Tun Sambanthan menghala ke Brikfield. Gas pemedih mata ini baunya busuk dan terasa pedih sekali. Aku terpaksa membasahkan ketayap putih ku dan mengesat muka & mata yang pedih.

Jam 1 petang, aku bergerak secara sendiri untuk menuju ke Stadium Merdeka. Aku tak mahu mengikut kumpulan kerana nampaknya polis bertindak agresif terhadap kumpulan. Aku berhenti di satu surau berdekatan deretan kedai makan. Ramai jemaah dari Kedah, Penang & Perak berlindung di Surau ini disamping menunggu untuk sembahyang zohor. Aku dilantik untuk menjadi Imam mengetuai sembahyang jamak qasar zohor & asar disini.

Jam 2 petang, hujan turun dengan lebat. Perarakan yang dianggotai masyarakat berbilang kaum diteruskan. Namun, semua jalan yang menghubungi stadium dipagari dengan kawat berduri dan dijaga oleh polis & FRU. Kelihatan banyak motorsikal dan kereta polis meninggalkan kawasan jagaan dan kembali ke Ibu Pejabat mereka. Namun orang ramai masih setia dalam hujan dan terus begerak dan berhimpun berhampiran jalan ke Stadium.

Jam 3 petang, hujan berhenti. Orang ramai dari Masjid Jamek dan Pasar Seni serta stesen keretapi terus berarak ke Stadium dan terhenti disekatan jalan masuk ke Stadium Merdeka. Crowds semakin bertambah besar sehinggakan memenuhi sepanjang jalan dari Pasar Seni, Jalan Perak dan Petaling Street sehingga ketempat berkumpul dipersimpangan jalan ke stadium.


Jam 3.30 petang, perhimpunan tidak lagi bergerak kerana jalan penuh sesak. Laungan reformasi dan takbir bergema. Apa yang dikagumi pada demontrasi ini ialah penyertaan orang Cina dan India yang terlalu ramai. Tetapi situasi masih aman kerana tiada tindakan dari polis.
Jam 4 petang, orang mula bersurai. Aku rasa pihak berkuasa silap dengan tidak membenarkan perhimpunan diadakan di Stadium Merdeka secara aman menyebabkan orang ramai berarak di jalanan. Sebenarnya inilah matlamat asal perhimpunan Bersih. Anggaranku untuk kumpulan dari Masjid Jamek dan Pasar Seni saja menjangkau 30,000 orang. Itu tidak termasuk crowd di Jalan Pudu, Sogo dan Bukit Bintang, KLCC dan lain2 tempat.

Kumpulan Perkasa pula tak nampak langsung. Pemuda Umno pun aku tak nampak mungkin mereka dikawasan lain. Seorang pun tak nampak berpakaian silat. Bak kata P Ramle; semuanya auta..

Kesimpulannya, perhimpunan kali ini berjaya menghimpunkan masyarakat berbilang bangsa dengan aman dan tenteram. Kecuali sekali sekala ianya menjadi gawat apabila polis mengambil tindakan.

Lihatlah video yang saya ambil sendiri semasa perhimpunan di kawasan Petaling Street saja yang menceritakan jumlah kehadiran sebenar.  Di kawasan ini saja padat dengan puluhan ribu orang ramai memenuhi sepanjang jalan dari Pasar Seni melalui Petaling Street hingga ke jalan stadium. Di kabarkan bahawa perhimpunan di jalan Pudu 2 kali ganda lebih besar dari perhimpunan disini.

Persoalannya?????  hanya 6,000 orang sajakah yang hadir?????