Alhamdullilah. Hari ni genap umurku 56 tahun. Aku bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang kepada aku untuk meneruskan lagi kehidupan ku di dunia ini. Aku bersyukur juga ke hazrat Allah SWT kerana nikmat Kesihatan Rohani & Jasmani diriku masih kekal sihat sejahtera. Aku bersyukur kerana masih mampu berlari berbatu2, masih mampu mengayuh basikal berpuluh kilometer, masih mampu menyangkul menanam anak2 pokok, masih mampu mengurus dan membersihkan dusunku dan yang paling agung sekali iaitu masih mampu membaca dan menambah hapalan ayat2 suci Allah setiap hari. Namun aku mesti terus berusaha untuk mengekalkan tahap kenikmatan rohani dan jasmani ini . Aku terlalu yakin bahawa Allah SWT akan merahmati hambanya yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.
Aku juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluargaku dan teman2 yang menyampaikan ucapan selamat hari kelahiranku hari ini. Ingatan & ucapan kalian amatlah aku hargai.
Aku juga ingin mengucapkan terima kasih kepada anak2ku yang memberi hadiah kepada ku hari ini. Sebenarnya, aku tidak memerlukan hadiah2 tersebut. Aku sudah cukup bangga dengan melihat kejayaan kamu semua. Kejayaan kamu menamatkan pengajian masing2 di Universiti, menjawat pekerjaan yang baik dan masing2 mempunyai keluarga yang bahagia adalah merupakan anugerah kerahmatan Allah kepada ku dalam mendidik dan membesarkan kamu semua.
Sebenarnya kejayaan kamu adalah keberkatan & rahmat Allah dalam meningkatkan kemajuan kerjayaku dulu dan pandangan masyarakat terhadap ku selama ini. Kejayaan kamu semualah yang mengukuhkan kepercayaan majikan dan masyarakat terhadap ku. Situasi inilah yang paling agung yang tidak boleh dibeli atau dinilai dengan hadiah atau wang ringgit.
Teruskan kehidupan kamu dengan ikhlas & jujur. Aku pasti menerima tempiasnya.
Terima kasih. Wassalam.
Nota untuk anak2ku :
Aku rasa ingin untuk memaparkan sedikit sejarah pembesaran kamu seorang demi seorang di blog ku ini nanti. Ada diantara kisah2nya yang kamu mungkin tidak ketahui sebelum ini.