Sabtu, 14 November 2015

Petai ....Oh Petai.

Alhamdulillah!!!.  Sepokok Petai Padi aku mengeluarkan hasil yang boleh di petik pada ketika ini.
Pagi tadi aku sempat mengait lebih dari 200 keping/papan petai. Sekembali kerumah aku mengikatnya untuk dijual. Aku hanya what's app kepada rakan2 dan Alhamdulillah dalam masa 2 jam saja semua petai itu telah habis di jual.

Aku belum memberitahu akan pemborong berkenaan dengan petai yang aku petik itu. Secara kebetulan sudah ada terlalu banyak booking dari jiran & rakan.

Kepada yang tinggal di luar Kuantan, maaf sajalah.

Wassalam

Petai Padi Fresh yang di Petik pagi ini.
Diikat pada 6 keping/papan seikat
Harga Runcit RM3 seikat.  Harga borong  2 ikat RM5/=

Khamis, 5 November 2015

Daun Bidara


Maklumat Daun Bidara
Aku ingin berkongsi maklumat berkenaan Daun Bidara.  Sebelum ini aku hanya tahu bahawa Daun Bidara hanya digunakan untuk bilasan semasa memandikan jenazah. Sebab itulah dikawasan kampung pendalaman, pokok Daun Bidara lazimnya ditanam berhampiran masjid atau surau. Jarang sekali ada orang yang menanam pokok ini dikawasan rumah.

Setelah aku belajar Ilmu Pengubatan Islam barulah aku tahu bahawa Daun Bidara digunakan secara meluas khususnya bagi mengatasi Penyakit Gangguan Makhluk Halus. Lantas, aku membeli benih anak pokok ini dan menanamnya di kawasan rumah.

Alhamdulillah, pokoknya tumbuh subur membesar dalam masa yang singkat. Aku percaya ia adalah Rahmat dan Keberkatan dari Allah SWT kerana Daun Bidara ini aku gunakan secara meluas pada setiap kes Pengubatan yang aku kendalikan.

Lazimnya aku akan menyuruh pesakit menggunakan 7 helai daun pada setiap sesei rawatan iaitu dengan menghancurkannya dalam semangkuk air yang telah dirukyah dan diminum sekadar 3 teguk dan selebihnya dibuat mandi pada bilasan terakhir. Rawatan ini mesti dilakukan sebanyak 3 kali untuk 3 hari sebelum masuk waktu Maghrib. Alhamdulillah, Dengan Izin Allah SWT, rawatan menggunakan Daun Bidara ini amat berkesan.  Kesemua pesakit yang mendapat rawatan dari aku menggunakan Daun Bidara ini sembuh dari gangguan yang mereka alami.

Moving Forward
Baru2 ini aku terbaca info dari rakan yang mengatakan ada pihak yang telah mengkomersialkan air daun bidara untuk tujuan perubatan.  Aku terfikir, kenapa aku tidak mencubanya untuk membuat sendiri. Apatahlagi, Daun Bidara ini bukan racun bahkan ia boleh dimakan dan menjadi salah satu bahan sunah dari Rasullullah SAW.

Lantas aku mengambil beberapa ranting Daun Bidara dan aku ambil Daunnya serta aku Blend bercampur dengan air yang aku Rukyahkan. Aku telah meminumnya dalam 3 teguk setiap malam sebelum tidur selama 1 minggu. Kesan ketara yang aku alami adalah seperti berikut :-

1.  Hari pertama mengambilnya aku membuang Air Besar 4 kali. Mungkin proses penyucian usus dan perut. Najis kelihatan hitam pekat tidak seperti najis biasa. Hari kedua pembuangan najis kembali normal iaitu sekali sehari dan rupa najis seperti biasa.

2.  Tubuh Badan terasa ringan, Sendi2 berfungsi dengan baik. Pergerakkan amat lancar dan pantas.

3.  Tidak terasa sakit2 otot atau lenguh2 walaupun aku berkerja agak keras di Dusun dan melakukan senaman jogging bila tidak ke Dusun. Aku dapat berlari dengan baik tanpa henti untuk jarak yang jauh.

4.  Mata semakin terang dan adakalanya aku terasa rimas memakai cermin mata kerana aku dapat melihat dengan baik khususnya ketika bekerja di Dusun.

5.  Si Anu telah bangun lebih awal dari tuannya setiap pagi seperti yang dialami ketika zaman bujang dulu. Ini adalah perubahan yang paling ketara. Aku percaya bahawa Daun Bidara mempunyai khasiat tertentu kearah ini.

6.  Aku terasa mempunyai keyakinan yang tinggi pada kebolehan diri. Yakin dalam melakukan Pengubatan dan tidak langsung merasa gentar bila berhadapan dengan situasi pesakit yang diganggu makhluk halus.

7.  Hanya satu kelamahan Jus Daun Bidara ialah ia menghasilkan Tidur yang Nyenyak, seolah2 tidak sedar diri. Aku tidak lagi terkejut jaga ditengah malam seperti sebelum ini aku terbangun untuk buang air kecil dan sebagainya. Aku terpaksa mengaktifkan kembali Alarm Phone aku kerana aku bimbang akan terlajak tidur apabila masuk waktu subuh walaupun aku sudah biasa terjaga sebelumnya.



Improvised
Jus Daun Bidara yang dihasilkan rasanya terlalu pahit. Sehinggakan pahitnya terasa seolah2 masih dihujung lidah bila aku meminum air pada esok paginya.

Untuk next batch, aku akan campurkan sedikit gula batu kedalam jus ini. Mungkin ia akan mengurangkan sedikit rasa pahitnya.  "Tidak pahit bukan ubat namanya."

Aku akan terus meminum jus Daun Bidara ini.

Inilah Pokok Daun Bidara yang aku tanam di kawasan rumah

Jus Daun Bidara yang dihasilkan. Kuantiti dalam gelas itu untuk sekali minum

Rabu, 7 Oktober 2015

Menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Pahang

Alhamdulillah, sesuai dengan status diri sebagai seorang Petani atau Peladang aku telah melibatkan diri dengan serious dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya dibidang Pertanian. Selain dari menjawat jawatan Ketua Unit atau Pengerusi Pertubuhan Peladang Permatang Badak aku juga terpilih sebagai Perwakilan mewakili Pertubuhan Peladang Kuantan ke Mesyuarat Agung Peladang Peringkat Negeri Pahang (PASFA). Tahun ini adalah kali ke 2 aku menghadiri Mesyuarat Agung ini.

Menarik berkenaan menjadi perwakilan ialah :-

1.  Dapat mendengar status kemajuan pertanian terkini secara keseluruhan bagi Negeri Pahang yang dibentangkan oleh perwakilan2 setiap daerah.

2.  Dapat menimba ilmu baru khususnya dibidang pertanian tanaman apabila secara langsung dapat berinteraksi dengan perwakilan2 yang menjalankan projek2 pertanian seperti tanaman nangka, kelapa mataq dan sebagainya.

3.  Sesekali dapat penginapan percuma di Hotel2 besar 5 star. Tahun lepas di Zenith dan tahun ini di MS Garden.  Mendapat kain baju dan upah jahitan percuma, mendapat elaun wang tunai kehadiran (4 angka) dan mendapat baucer percuma untuk membeli belah di Agro Bazaar Pertubuhan Peladang.

Kepada mereka yang berminat dalam bidang pertanian .....sertailah Pertubuhan Peladang peringkat kawasan masing2. Terlalu banyak kemudahan yang disediakan.

Sedang menunggu ketibaan Menteri untuk Majlis Perasmian & Dinner

Khamis, 24 September 2015

Setia dan Sentiasa Bersama

Salam Aidiladha untuk semua pengikut dan peminat blog Dusun Ku ini. Alhamdulillah, sambutan Aidiladha tahun ini meriah kerana hampir semua anak/menantu dan cucu2 balik beraya bersama kami di Kuantan kecuali anak lelaki kami dan keluarganya menyambut hari raya di kampung isterinya di KB.

Ada yang telah balik 2 hari sebelum raya dan sambutan agak meriah kerana pada kali ini mereka membuat menu2 istimewa secara bersama. Semoga kita sentiasa dirahmati & diberkati Allah SWT.

Ammeen Ya Robb..   Wassalam

Cucu Sulong yang sedang snap photo tuuu

Khamis, 17 September 2015

Bercuti Panjang Selepas Penat Bertani.

Alhamdulillah, 4hb September 2015, aku dan isteri keluar bercuti panjang setelah penat berkerja setiap hari memungut hasil dusun yang agak baik pada musim ini.

Destinasi kami pada kali ini adalah Langkawi. Kami juga singgah di Pulau Pinang untuk beberapa hari.

Dalam perjalanan balik kami singgah di KL dan menetap untuk beberapa hari.

15hb September kami kembali ke Kuantan.

Rutin harian aku berjalan seperti biasa ......kemana lagi kalau tak ke Dusun..Ku.

Ketika di Pantai Teluk Ewa berhampiran Pasir Hitam.
Di Pantai Tanjung Rhu
Di Perkarangan Makam Mahsuri
Rumah Sewa yang aku diami dari tahun 1985 hingga 1990 di Langkawi.
Dulunya sebuah banglo baru kini terbiar tanpa penghuni.

Jumaat, 31 Julai 2015

Lempuk Durian ....

Berbagai jenis makanan yang boleh di hasilkan daripada Durian. Satu jenis makanan ini memang setiap tahun di buat oleh isteri aku. Namanya Lempuk. Rasanya lemak & manis durian. Ianya sedap dimakan diwaktu petang atau ketika menonton TV di waktu malam.

Cara membuatnya agak cerewet. Jadi, Lempuk yang di hasilkan ini..BUKAN untuk di jual. Sebaliknya, isteri aku membuatkan sebanyak 5 bekas. Yang besar tuuu untuk aku lah. Yang kecil 4 bekas lagi tuu untuk di beri kepada anak2 seorang satu.

Aku biasa makan dulu lempuk yang diisi dalam upih dan mengkuang. Tetapi, bila orang buat untuk berniaga nie....tak lah sesedap yang di buat sendiri. Macam Tempoyak juga.

Lempuk Durian

Khamis, 30 Julai 2015

Tempoyak Kak Zie Kembali Lagi

Musim durian sudah hampir ke penghujungnya. Buah2 rosak yang jatuh pecah, di tebuk burung atau tupai aku asingkan daripada pasaran dan ianya dibuat Tempoyak.  Pada kali ini banyak buah yang jatuh merkah atau retak kerana cuaca yang panas menyebabkan tanah terlalu kering dan keras.

Sebanyak lebih dari 30 kg tempoyak telah dihasilkan dalam 3 batch sepanjang 2 minggu ini. Alhamdulillah, pasaran amat baik kerana isteri aku membuat packing pada saiz mesra pelanggan iaitu menggunakan balang plastik 3/4 kg (750gram) yang dijual pada harga RM10/balang.  Hampir 40 balang telah dihasilkan dan kesemuanya telah habis dijual. Aku sedang mengumpulkan buah2 rosak untuk memproses tempoyak bagi batch keempat.

Seperti musim lepas Tempoyak Kak Zie dibuat dari 100% durian sendiri tidak dicampur dengan bahan2 lain hanya digaul dengan garam dan di peram selama 3 hari sebelum dipacking dan dipasarkan. Dinasihatkan kepada pembeli supaya kerap membuka penutup balang kerana gas durian itu terlalu kuat.

Nota : Gambar bagi batch pertama telah dimuat naik di Halaman Dusun Ku pada 23/07/2015


Batch Ketiga dibuat pada 28/07/2015 lebih dari 10 kg habis dijual

Batch Kedua di buat pada 26/7/2015 lebih 10 kg habis dijual



Khamis, 16 Julai 2015

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin

Di kesempatan ini saya mengucapkan "Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua Pengikut Blog ini dan pengunjung yang sudi singgah di sini. Semoga Tuan Puan sekelian berada dalam keadaan Sihat Walafiat dan Tabah mengharungi liku2 kehidupan di alam maya ini. Lakukan yang terbaik kerana kita hanya di beri peluang untuk hidup sekali saja sebelum kita beralih ke alam kekal. Pastikan kita membawa bekalan yang mencukupi ke sana bagi memastikan yang kita juga dapat hidup dengan atau lebih sempurna daripada apa yang kita nikmati di dunia ini.

Saya memohon ampun & maaf sekiranya ada terlanjur perkataan & tindakan yang menyinggung perasaan kalian. Ingatlah Dosa sesama manusia hanya akan terampun apabila manusia berkenaan memaaf atau mengampunkannya. Saya dengan rendah diri memaafkan semua pengikut & pengunjung terutama yang berinteraksi dengan saya selama ini jikanya ada terhadap saya.

Sekali lagi saya menggunakan hasil usaha saya dibidang pertanian ini khususnya dalam Menyambut Kemeriahan Suasana Aidilfitri.

Saya telah menebang 3 batang buluh lemang dari salah satu rumpun buluh yang saya tanam di Dusun Ku kira2 tiga tahun yang lalu. Kesemua 6 rumpun buluh lemang tumbuh subur membesar dan memanjang dengan produktif sekali. Tanaman buluh lemang juga boleh mendatangkan hasil yang baik kerana  tinjauan pasaran mendapati yang buluh lemang kosong dijual pada harga RM3/= seruas.

Wassalam.

Salah satu Rumpun Buluh Lemang di Dusun Ku
Ruas Buluh Lemang yang telah di Potong 
Membakar Lemang Sendiri di Belakang Rumah

Ahad, 14 Jun 2015

Rebung Madu Dusun Ku ....Kini memasuki Pasaraya



Alhamdulillah,   Kesemua Rumpun Rebung Madu di Dusun Ku amat galak mengeluarkan hasil terutama ketika hujan sudah kembali turun seperti biasa.  Setiap kali aku ke Dusun pasti akan membawa pulang beberapa batang Rebung Madu.

Pasaran sebelum ini melalui kedai runcit, restauran dan peniaga pasar malam agak terhad kerana hasil rebung yang semakin bertambah. Aku berbincang dengan isteri dan beliau memberi pendapat supaya aku pergi berjumpa dengan Pengurus sebuah Pasaraya berhampiran untuk cuba memasuki pasaran bagi rebung madu kami. Alhamdulillah, setelah bertemu, Rabung Madu kami diterima. Maka bermulalah era pasaran bagi skala yang agak besar dalam memasarkan Rebung Madu kami.

Kepada sesiapa yang ingin membeli terus "Rebung Madu"  Dusun Ku boleh terus menghubungi aku.

Harga jualan di rumah bagi Rebung Madu yang Siap di proses adalah :-

1.  Sebungkus  RM2.00 sahaja.
2.  Sekilogram  RM6.00 sahaja

Rebung Madu lebih Segar, lemak & manis daripada Rebung Biasa.

Rebung Madu dan Hasil Lain yang dibawa balik dari Dusun Ku semalam
Baru Siap Di Proses. Bungkusan Kecil itu RM2.00 Sebungkus di Rumah

Isnin, 25 Mei 2015

Bercuti Setelah Matlamat Tercapai



Alhamdulillah. Seperti yang dinyatakan dalam artikel sebelum ini ....aku amat gembira dengan terbinanya Tembok Pagar Konkrit di sekeliling Dusun Ku seluas 2 ekar itu. Bermula pada 9/5/2015 hingga 16/5/2015, aku dan isteri membuat lawatan ke Selatan Tanah Air. Seperti lawatan kami yang terdahulu, aku lebih suka memandu kenderaan mengikut jalan2 kampung dan pantai terutama kawasan pendalaman supaya aku dapat melihat sendiri suasana kehidupan natural yang tak tercemar oleh binaan canggih rekaan manusia.

Dari Kuantan kami Ke Mersing melalui jalan pantai. Makan malam ikan bakar di Pantai Mersing dan bermalam disini. Keesokan harinya kami meneruskan perjalanan melalui jalan kampung pendalaman dan singgah di beberapa tempat menarik yang rupanya menjadi tempat percutian warga asing khususnya orang2 Singapura. Diantara pantai menarik yang kami singgah ialah Pantai Pasir Lanun, Pantai Teluk Penggorek seterusnya hingga Desaru selatan Johor.

Kami bermalam di Johor Bharu dan pada siangnya berulang alik melawati Singapura. Diantara tempat2 yang kami lawati di Singapura adalah Zoo, Rochor Road, Geylang Serai, Bugis Street dan Woodland.

Dari JB kami bertolak balik melalui jalan Pantai merentasi Pagoh, Muar dan Bermalam di Melaka. Seterusnya kami melalui Tanjung Keling, Bukit Cina, Linggi, Pengkalan Kempas dan berhenti di Port Dickson. Akhirnya kami kami tiba di rumah kami di Ara Damansara. Kami akhirnya tiba di Kuantan dengan selamatnya pada 16/05/2015.

InsyaAllah, minggu hadapan kami akan ke KL semula untuk berehat lagi selama seminggu.

Di Pantai Teluk Penggorek
Di Pantai Desaru
Di Zoo Singapura
Berhenti sekejab di Telaga Hang Tuah & Malam ini makan di Umbai
Hotel sederhana sesuai untuk berehat & bermalam

Jumaat, 8 Mei 2015

Alhamdulillah. Tembok Pagar Dah Siap Sepenuhnya.

Syukur kehazrat Allah SWT memberi aku kekuatan dan kecekalan semangat dalam melaksanakan tugas seorang diri membina Tembok Pagar Konkrit untuk Tanah Dusun Ku seluas 2 ekar. Saban hari aku menggeleng2kan kepala seolah2 tidak percaya yang aku berjaya melakukannya.  2 ekar bukannya keluasan yang kecil. Ia melibatkan lebihkurang  240 tiang konkrit disekeliling Dusun. Apatah lagi keadaan tanah yang berbukit terpaksa aku menolak bata2, simen dan mengangkut ke setiap tiang seorang diri. Pemandu2 lori yang bergilir2 menghantar bata2 dan pasir juga kagum dengan semangat aku yang membina tembok tersebut bersendirian.

Tembok ini mula dibina pada 25hb June 2014 dan baru tamat semalam 07hb Mei 2015. Hampir setahun lamanya untuk menyiapkan tembok tersebut. Sebanyak 118 kampit simen, 38 pallets bata (22,800 biji bata) dan 7 lori pasir telah digunakan.

Kini, aku boleh tersenyum puas. Aku percaya tembok ini akan kekal berpuluh tahun akan datang. Satu kemudahan tersedia untuk anak2 cucu ku mengalami situasi dusun yang lebih selesa. Aku semakin sayang dengan Dusun Ku ini.

Selain dari ranjau kegigihan membina,  aku juga menghadapi berbagai cabaran fisikal dan mental dalam melaksanakan tugas. Baju  & Seluar terpaksa di tukar setiap hari kerana basahan puluh yang melimpah. Cuaca panas terik, hujan renyai sudah menjadi mainan semasa. Dan oleh kerana aku seorang diri membina dikawasan terpinggir, gangguan dari punca misteri juga aku hadapi.

Terlalu banyak kali alatan kerja seperti senduk simen, kapak dan bahkan cermin mata yang aku letakkan sebentar didapati hilang secara tiba2. Alhamdulillah dengan sedikit pembacaan doa yang aku pelajari dari darusyifa',  alatan2 tersebut muncul kembali setelah hanya terlindung di sebalik daun2 kering berdekatan. Yang lebih mencabar dan tidak dapat aku lupakan ialah apabila suatu hari ketika hampir waktu zohor aku terdengar Teguran Suara Seorang Wanita memanggil aku dengan satu perkataan saja iaitu "Abang!!!". Suara itu amat jelas & kuat membuatkan aku terpinga2 memerhatikan kawasan sekeliling. Namun aku jawab dengan membaca ayat Penghindar Syaitan dan suara tersebut tidak terdengar lagi selepas itu, Aku sudah biasa dengan situasi sebagini......tidak timbul perasaan takut lagi bahkan ianya menjadikan suatu guruan lucu menghidupkan suasana.

Kos keseluruhan yang dikeluarkan:-

a.  118 kampit Simen x RM20                                  =  RM2,360. 00
b.  38 pallets bata x RM144 (38 x 600 biji)              =  RM5,472. 00
c.    7 lori pasir x RM120                                          =  RM840. 00
                                              JUMLAH                   =  RM8,672. 00


Yakin Boleh.. Kau pasti berjaya melakukannya.

Kini tiba masa untuk berehat. Esok aku akan drive ke Singapura melalui beberapa jalan perkampungan pantai melalui Pekan, Rompin Endau, Mersing untuk beberapa hari.

Selamat Tinggal Dusun Ku dan aku pasti merindui mu untuk kembali nanti.

Sebahagian dari Tembok yang dibina bersebelahan Dusun Jiran yang baru dibersihkan

Pintu Pagar Ke Dua yg dibina sebelah tepi Dusun hanya tinggal sedikit lagi utk disiapkan.

Isnin, 4 Mei 2015

Unit Peladang Permatang Badak Terpilih Menerima Anugerah Pengurusan Terbaik bagi Tahun Kewangan 2014




Alhamdulillah, Berkat usaha gigih AJK Unit telah membantu aku dalam menguruskan Unit Peladang Permatang Badak sehingga di Istiharkan menerima Anugerah Pengurusan Terbaik dalam Mesyuarat Agung Peladang Kawasan Kuantan.

Mesyuarat Agung PPK Kuantan telah diadakan pada 29hb. April 2015 di Dewan Indera Sempurna Resort Kuantan. Mesyuarat ini dirasmikan oleh Ybhg. Dato' Haji Zainal Dahalan, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia.

Terdapat 27 Unit Peladang bernaung dalam Kawasan Kuantan dan Unit Kami iaitu Permatang Badak yang mempunyai ahli seramai 218 orang terpilih memenangi anugerah tersebut. Selaku Ketua Unit, Aku dengan bangganya naik ke Pentas menerima Anugerah Plaque dan Hadiah Wang Tunai.

Terima kasih kepada semua AJK yang bertungkus lumus menyumbangkan idea dan tenaga sehinggakan kita berjaya. Semoga kita akan terus mencapai kejayaan di tahun2 mendatang. InsyaAllah.




Sabtu, 4 April 2015

Nak Kesihatan yang Asli Kena Makan Bahan Asli

Seperti yang dijanjikan, Aku telah berjaya membuat sendiri minyak kelapa seperti yang aku coretkan pada artikel yang lepas.

Daripada banyak buah kelapa sendiri yang dikaitk, aku hanya menggunakan 7 biji kelapa sahaja untuk membuat minyak kelapa pada kali ini. Kenapa 7 biji????.  Haaaa... itu kena baca artikel pasal angka 7 yang telah aku coretkan sebelum ini.

Proses membuat minyak pada kali ini aku lakukan sendiri tanpa pertolongan isteri kerana aku ingin mengira masa, tenaga dan tumpuan samaada berbaloi atau tidak untuk membuatnya lagi selepas ini.

Kelapa yang telah siap di kopek, kemudian diparut dan diperahkan santannya. Santan itu dibiarkan bertakung dalam bensen besar semalaman. Keesokan harinya, hanya kepala santan yang diambil dan dimasukkan dalam kuali besar untuk dimasak. Hanya 45 minit diperlukan apabila santan itu bertukar menjadi minyak kelapa asli yang terlalu jernih, warna putih, licin dan melekat terhasil.

Khasiat Minyak Kelapa Asli

Khasiat minyak kelapa asli ini tidak lagi diragukan kerana ia amat bermutu tinggi. Semasa zaman nenek aku dan orang2 dahulu mereka membuat sendiri minyak kelapa. Pada masa itu pula mereka hanya menggunakan dapur kayu untuk memasak. Khasiatnya yang paling baik ialah minyak kelapa asli dari perahan santan tanpa sebarang pengawit dan pewarna amat baik untuk menurunkan kadar kolestrol jahat dalam tubuh dan meningkatkan kolestrol baik bagi memperbaiki sistem metabolism tubuh. Orang2 dulu jarang mendapat sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

Minyak kelapa asli juga mengandungi kadar kandungan vitamin E yang tinggi untuk peningkatan imune system bagi tubuh disamping menyihat dan menyegarkan kulit dan peningkatan kadar pertumbuhan rambut.

Aku rasa berbaloi masa dan tenaga yang digunakan dan akan berhenti dari membeli minyak masak conventional dan hanya akan menggunakan yang asli selepas ini.

Proses Membuatnya

Pilih kelapa yang elok untuk dibuat minyak

Belah dan parutkan isinya
Simpan santan semalaman untuk memisahkan air dengan pati santan
Masak santan dalam kuali besar yang bersesuaian
Selepas 30 minit...santan mula bertukar menjadi minyak
Inilah hasilnya. Yg jernih di sebelah kanan ialah minyak kelapa asli disebelahnya
adalah minyak kelapa mahal campuran pengawit dan dalam piring itu adalah
tahi minyak. 

Khamis, 12 Mac 2015

Nyiok Muda Pulak

Alhamdulillah,  3 daripada beberapa Pokok kelapa yang aku tanam 4 tahun lepas kini  dah mula berbuah. Buahnya agak lebat kerana hampir 25 biji aku kait bagi setiap pokok baru2 ini. Dah lebih 2 bulan aku tidak lagi membeli kelapa atau santan kelapa di Pasar.  Isteri aku parut semua kelapa yang dikait, di pack kan dalam plastic dan disimpan dalam peti sejuk. Dia guna untuk memasak dengan menggunakan sedikit demi sedikit.  Buat masa ini aku belum memikirkan untuk menjual kelapa tua yang di petik. Aku dalam proses untuk membuat minyak masak kelapa sendiri pulak selepas ini. Sekiranya usaha ini berhasil maka aku tidak akan lagi membeli minyak masak di pasaran selepas ini.

Aku juga amat gemar meminum air kelapa muda fresh yang baru diambil dari pokok. Rasanya terlalu manis dan isinya yang lemak. Terutama dalam musim panas seperti sekarang. Sebelum ini aku selalu juga minum air kelapa muda di restoran yang menjualnya pada harga RM3/= sebiji. Itu pun mungkin kelapa lama dan ada juga yang terlalu muda atau sudah tua. Lihatlah betapa fresh nya buah kelapa muda dan isinya seperti gambar dibawah.

Pokok kelapa itu pulak tidak tinggi dan ada yang boleh dicapai dengan tangan.
Ada 11 lagi pokok yang belum berbuah termasuk jenis kelapa mataq.

Sila rujuk halaman "Dusun Ku" diatas untuk melihat update terbaru produck Dusun Ku yang lain.

Setandan kelapa muda yang aku kait tadi 

Buah Tua baru saja dikait dari pokok ini.
Satu lagi pokok yg belum dikait buahnya.
Haaa....Ini persediaan minuman untuk berbuka nanti. Alhamdulillah!!!

Sabtu, 17 Januari 2015

Banjir Memperlihatkan Sebuah Realiti

Aku dan isteri telah berkunjung ke Kelantan dalam usaha kami membantu setakat yang terdaya dan untuk melihat sendiri sebuah Realiti Kehidupan.

Secara kebetulan  "Haul" zakat isteriku sudah sampai tempohnya yang mesti dikeluarkan. Pada kali ini isteri aku berhajat untuk menyampaikan wang zakat secara terus kepada asnaf yang memerlukan.

Dashyat !!!!. Itulah gambaran awal apabila kami sampai di Bandar Kuala Krai. Bandar ini telah lumpuh sepenuhnya.  Paras air yang menengelami rumah2 teres dalam Bandar diatas bukit sudah dapat memberi gambaran jelas betapa besarnya dugaan Allah yang ditempuhi masyarakat disini. Beberapa penduduk yang ditemui mengatakan yang mereka tidak tahu hendak bermula dimana. Hendak mencuci rumah.....bekalan air terlalu perlahan dan adakalanya bekalan air terputus langsung. Tidak dicuci......lumpur sudah mula berbau. Bimbang juga untuk menarik sampah dan kerusi2 rosak keluar kerana bimbangkan sang merayap yang berlindung disebaliknya.

Memang ada pihak2 yang membantu. Tetapi kebanyakkan hanya menghantarkan berbungkus2 barang makanan dan pakaian.

Barang makanan ini senang diperolehi kata mereka. Kalau nak mudah ....tunggu saja di Pusat Pemindahan. Bukan saja barang makanan bahkan makanan harian pun di masak untuk penghuninya. Pakaian ....sudah lebih dari mencukupi. Seorang mangsa yang ditemui mengatakan beliau sudah menerima berpuluh tin biskut berbagai jenis, sardine, berkampit2 beras, susu dan sebagainya. Tetapi barangan yang berlebihan yg diterima ini tidak boleh membina rumah mereka yang rosak semula. Tidak boleh membantu mereka memperbaiki kenderaan yang rosak. Mereka perlu wang tunai untuk menguruskan keperluan yang tertentu.


Setelah memerhati sendiri aku rumuskan perkara berikut :-

1.  Kepada Penyumbang yang dermawan:...jangan tukarkan cash dengan barangan. Berikan saja terus cash kepada mangsa. Biarlah pihak kerajaan saja yang menghulurkan bantuan barangan makanan kepada mereka. Yang pasti mendapat keuntungan lebih ialah Gedung2 Pasaraya kerana dari situlah penyumbang membeli barangan makanan.  Perbezaan response jelas ketara apabila mereka menerima cash dari barangan. Ada yang menitis air mata, ada yang tak henti2 mendoakan kesejahteraan kita pula kerana dengan cash mereka lebih selesa untuk menguruskan keperluan.  Tenaga manusia untuk membungkus barangan juga boleh dielakkan.

2.  Tentera dan Bomba mesti di utilise sepenuhnya untuk memulihkan keadaan. Banyak anggota tentera yang muda2 di negeri2 lain mesti di angkut kekawasan banjir bagi menolong melakukan kerja2 pembersihan seperti sekolah2, masjid, tempat2 awam dan juga perumahan yang terjejas teruk.

3.  Elakkan pelajar2 pusat pengajian tinggi dari terus pergi membantu di kawasan mangsa banjir kerana mereka tidak mempunyai peralatan yang sesuai serta kemahiran dalam kerja mengemas & membasuh. Amat mendukacitakan bila kebanyakan mereka hilang tumpuan dengan banyak dilihat asyik dengan handset dan berbual sesama mereka sedangkan mangsa banjir masih dalam kesedihan. Usaha murni mereka untuk membantu amat baik tetapi elok mereka ini dihantar bagi membersihkan masjid2 dan sekolah2 kerana kerja pembersihan disini lebih sesuai untuk mereka.

Ohh...betapa besarnya kekuasaan Allah SWT.

Barangan masih berselerak diatas bumbung setelah dihanyut air banjir

Mangsa lebih memerlukan cash dari barangan
Aku & Isteri sempat ke Kg. Paya Pasir di Maran menghulurkan wang zakat
Sekitar di Jalan Pendalaman Kg. Pohon Tanjung di Pasir Mas