Rabu, 20 Disember 2017

Pondok di Dusun Ku 2

Alhamdulillah!!!!!    Pondok yang aku bina sendiri seorang diri di Dusun Ku 2 di Kampong Kolek ini telah siap sepenuhnya. Siap dengan stor barangan dibawah pondok dan berandah berkunci.

Aku boleh mengerjakan ibadah dengan selesa di pondok ini disamping boleh overnight untuk tunggu musim buah gugur nanti.

Seperti rumah di Dusun Ku, aku menggunakan roof gutter untuk mengumpulkan air hujan. Aku akan buat sistem tadahan dengan lebih lengkap selepas ini.

Photo yg diambil hari ini 20/12/2017

Selasa, 12 September 2017

Pontian & Nostalgia

Boleh dikatakan semua daerah di Malaysia termasuk, Miri, Batang Lupar di Sarawak, Sandakan, Papar di Sabah,  Bolok Sokmek, Koyan di Pahang, Beseri di Perlis, Kodiang dan Baling di Kedah termasuk Perupuk dan Tok Bali di Kelantan telah aku kunjungi. Hanya Pontian di Johor yang belum pernah aku sampai. Aku sentiasa memberitahu isteri bahawa Pontian adalah daerah yang amat aku idamkan untuk melawatinya. Pontian agak sukar untuk kesana kerana ia terletak dihujung sebelah barat semenanjung. Ia juga adalah penghujung benua Asia. Lokasinya memerlukan kita pergi dan balik melalui jalan yg sama dari Lebuhraya utara selatan. Akhirnya, aku dan isteri telah sampai juga di Pontian pada hari Jumaat, 8/9/2017. Kami bercadang bercuti selama seminggu sebelum balik meneruskan kerja2 di Dusun Ku di Kuantan.

Ada satu kenangan nostalgia yg tidak dapat aku lupakan berhubung dengan Pontian. Semasa aku menuntut di ITM sekitar tahun 1974 dalam fakulti School of Engineering, aku telah dipasangkan dengan seorang pelajar perempuan bernama Roslaini yg berasal dari Johor Bahru untuk tugas2 praktical melibatkan eksprimen Physic, Chemistry dan sebagainya. Kami di pasangkan (Pairing) oleh Pensyarah Class  (Mr. Heng) pada masa itu kerana kebetulan nama kami bermula dengan abjad "R". Roslaini merupakan satu2nya perempuan dalam class kami yg seramai lebih 30 orang itu. Beliau juga agak cantik orangnya dan menjadi bahan usikan pelajar2 lelaki yg lain.

Aku sungguh tidak selesa apabila di gandingkan dengan Roslaini. Aku rasa apa jua perbualan dan pegerakkan kami berdua sentiasa diperhati. Sebaliknya, Aku lihat dia tidak kisah, bahkan beberapa latihan praktikal telah berjaya kami lakukan bersama. Satu hari aku berterusterang dengan Roslaini dengan mengatakan aku tak berapa selesa pairing dengan perempuan dan mahu bertukar pasangan dengan pelajar lelaki. Roslaini tak kisah tetapi pertukaran ini mesti mendapat kelulusan dari Mr. Heng terlebih dahulu. Aku jumpa Mr. Heng dan banyaklah soaljawab dengannya dan diantaranya dia mengatakan yg aku ini outdated atau kolot orangnya. Akhirnya beliau bersetuju dan aku digandingkan dengan Syed Zain dan pasangan Syed Zain sebelum ini iaitu Sanusi bersetuju digandingkan dengan Roslaini.

Disinilah bermula kenangan nostalgia yg menjadi ingatan. Sanusi dan Roslaini menjadi pasangan yang amat cucuk dan intim sekali. Bukan saja latihan praktikal, bahkan ke kuliah, dewan makan, datang dan balik class sentiasa berdua. Sanusi adalah budak Air Baloi, Pontian yang menjadi ingatan aku.  Mereka terus menjadi pasangan yg intim bertahun2 selepas itu dan aku tidak tahu apa kesudahan perhubungan mereka. Walau pun bagitu, Roslaini juga baik dengan aku. Beberapa kali dia menyampaikan salam dari kawan2nya dan memberitahu yang kawan2nya ingin berkenalan dengan aku. Syed Zain lah yg menjadi pembenteng akan perhubungan aku. Bertuah kerana aku mendapat pairing dengan Syed Zain. Beliau amat kuat dengan didikan ugama. Aku amat rapat dengan Syed Zain. Beliau mengajar Tajwid AlQuraan sepanjang masa kepada aku. Biliknya di ITM adalah juga bilik aku kerana masa aku seharian lebih dibiliknya walaupun kami tidak pernah di pairing kan tinggal sebilik semasa menuntut di ITM. Bahkan aku biasa mengikut beliau dalam program Tabligh di Masjid India KL pada setiap hujung minggu. Syed Zain juga menasihati aku supaya jangan layan kiriman salam dan hajat berkenalan dari kawan2 Roslaini kerana katanya itu jalan2 syaitan dan Allah telah membuka jalan yg sempurna untuk aku.

Ada beberapa kali aku jumpa Syed Zain di Penang semasa aku balik kesana. Kerap kali juga aku jumpa beliau berniaga partime di Pasar Lama Roadwalk berhampiran Stadium Bandaraya setiap pagi Ahad menjual barangan lama. Hatinya masih kental dengan physical yg tak berubah walaupun beliau menamatkan pelajarannya di ITM sehingga peringkat Advance Diploma ataupun Sarjana.

Berhadapan Tugu Tanjung Piai, Pontian
Menaiki pondok pemerhati di Taman Negara Tanjung Piai
Menunggu isteri order ketupat di Restoran Terkenal di Pontian
Satu2nya Resort yg ada di Tanjung Piai

Khamis, 31 Ogos 2017

Lychee Brazil Kembali Berhasil

Buah kegemaran aku ini kembali lagi. Kali ini banyak pokok2 yang aku tanam samada di perkarangan rumah, Homestay dan Dusun turut berbuah.

Aku menggemari buah ini kerana isinya yg besar dan tebal, lemak dan manis, kering dan tidak berair serta berkeadaan yang elok dan tidak diganggu ulat atau serengga.

Oleh kerana buahnya semakin banyak, kemungkinan di musim2 hadapan aku akan cuba memasarkannya pulak. Belum pernah aku menjumpai orang menjual buah Lychee Brazil ini sebelumnya. Isteri aku pulak sibuk menyemai benih Lychee Brazil ini kerana semua semaian beliau dimusim lepas habis dijual pada rakan2nya dengan harga RM10 sepokok. Hingga kini masih ada outstanding order yg belum dipenuhi.

Isinya yg tebal, kering, lemak dan manis
Buah di pokok perkarangan rumah aku.

Sabtu, 26 Ogos 2017

Boikot Durian!!!!!

Haa...haaa...haa...

Aku terima juga Whatsapp mengenai kempen Boikot Durian dari Group Durian Lovers yg hangat di viral beberapa hari yg lalu. Lantas, aku teringat kpd macam2 kempen lain seperti Boikot Macdonald (Mac D) dan sebagainya.  Realitinya,  adakah Mac D sudah bungkus perniagaan mereka???.  Tidak!!!  Bahkan Mac D semakin maju dengan terlalu banyak outlet Drive Thru'  24 hrs yang dibuka. Kenapa ye???.  Sebab kita bertindak mengikut perasaan. Marah, Emotional, tidak puas hati dan sebagainya. Sesuatu tindakan harus diambil berdasarkan rasional dan fakta.

Kenapa harga durian di S'pore atau negara2 lain mahal???.  Rasionalnya, durian dinegara itu diimport dan telah melalui beberapa tapisan proses pemasaran.  Tetapi, kenapa harga durian dinegara kita juga meningkat?????.  Rasionalnya,  musim buah yang kurang,  tidak menjadi seperti di musim2 lepas, kos input pertanian meningkat terlalu tinggi ditambah lagi dengan charge GST kepada harga input pertanian tersebut. Baja Chemical yg dulunya berharga RM110 sekampit kini telah meningkat kepada RM160 sekampit.  Racun rumpai yang dulunya pada harga RM54 satu pack (4 litre) kini telah meningkat kepada RM68 satu pack. Harga changkul, parang, pam racun, mesin rumput, chain saw dan sebagainya juga telah meningkat.  Itu baru harga input pertanian, belum termasuk kos buruh, pengangkutan dan sebagainya.  Fikirlah sendiri...

Aku sebenarnya tidak pernah jual secara borong durian sebelum ini. Aku lebih mengutamakan kawan2 dan jiran2 setempat dengan menawarkan jualan pada harga RM10 untuk 3 kilo durian pada musim lepas dan sebelumnya. Walaupun aku tahu harga pasaran ketika itu adalah dalam kadar RM15 sekilo. Pemborong offer pada aku nak ambil pada harga RM6 sekilo tetapi aku masih jual pada rakan2 pada harga RM10 utk 3 kilo tak termasuk tambahan buah percuma. Pada musim ini aku dan isteri bercadang nak naikkan harga pada kadar RM4 sekilo kerana aku juga rasa terbeban dengan peningkatan kos yg aku nyatakan diatas.  Lantas aku nyatakan hasrat aku ini pada seorang kawan regular yg awal2 telah memesan berpuluh kilo untuk membeli durian aku. 

"Ah... Mahallah Haji. Susah kiralah RM4 sekilo. Lebih baik maintain lah Haji macam tahun2 lepas RM10 utk 3 kilo mudah kira" Katanya. Aku hanya kata... "OK lah. Kita tengoklah nanti". Lantas aku terus berhubung dgn pemborong dan pemborong suruh aku hantar sebanyak mana yg aku ada setiap hari dan dia akan bayar RM10 sekilo. Walaupun aku tahu harga yg dia jual ialah RM25 sekilo.

Maka untuk musim ini aku terus berhenti menjual secara runcit dan jual kpd pemborong setiap hari lebih daripada sebulan sehingga durian habis gugur pada 24hb Ogos baru2 ini. Siapa yg rasional dalam hal ini??? Rakan aku kah yg suruh aku maintain harga lama atau tindakan aku???.

Sebakul 43 kilo yg aku hantar dihari2 terakhir musim kpd pemborong



Jumaat, 28 Julai 2017

Musim Durian Kembali Lagi.....

Alhamdulillah!!!  Ada beberapa pokok Durian di Dusun Ku kini mula menggugurkan buahnya.  Aku terpaksa menunggu di Dusun dari awal pagi hingga lewat petang kerana terdapat ancaman dari dua jenis musuh. Satu jenis ada dari kalangan Monyet liar yg menjadikan Dusun aku sebagai sasaran mereka. Yang satu jenis lagi ialah Monyet kepala hitam. Yang ini tak berapa ganas sangat. Lebih kepada berlakon kerana pada musim buah inilah ramai monyet jenis ini yang datang memerangkap burung di sekitar Dusun Ku.

Cerita selanjutnya refer to Halaman "Dusun Ku"

Buah baru mula gugur. Yg dalam bakul akan dihantar kpd Pemborong

Tempat berehat aku menunggu buah gugur di beranda rumah di Dusun Ku

Isnin, 10 Julai 2017

Alahai...... Cerita Buluh Lemang Lagi.

Aku tidak terfikir semasa mula2 menanam buluh lemang beberapa tahun yang lepas akan permintaan terhadapnya terlalu tinggi.  Sebelum Raya baru2 ini telah aku muatkan artikel berkenaan aku memenuhi beberapa permintaan terhadap buluh lemang ini. Pada masa itu aku hanya menjual pada kadar RM1/= seruas atau sebatang.  Hari Jumaat lepas iaitu selepas Raya ada lagi permintaan buluh lemang dari seorang peniaga tempatan ini. Beliau adalah pembeli regular daripada aku. Kali ini beliau pula menawarkan untuk membayar pada harga RM1.50 sebatang dan memerlukan dalam 1000 batang dengan segera. Katanya terlalu banyak tempahan untuk orang buat rumah terbuka pada hari Sabtu dan Ahad. Buluh lemang dihutan katanya pun dah sukar diperolehi. Orang Asli pun tidak lagi mampu memenuhi permintaannya. Beliau mencadangkan aku memperbanyakkan tanaman rumpun buluh lemang ini kerana permintaan dimasa akan datang pastinya bertambah.

Sebenarnya, tanaman Buluh Lemang amat mudah. Ia senang tumbuh dan dalam tempoh kurang dari setahun sudah boleh ditebang untuk dipasarkan. Sebatang pokok Buluh Lemang yang baik akan dapat menghasilkan dalam 10 ruas. Pokoknya tidak sesemak buluh biasa dan mudah dipotong atau ditebang kerana ianya terlalu nipis.

Aku bercadang untuk memperbanyakkan lagi tanaman buluh lemang ini di Dusun Aku. Aku mensasarkan kawasan sekeliling pagar untuk ditanam. Buat masa ini aku sedang berusaha memindahkan akar2 buluh lemang ke tapak baru. InsyaAllah, target aku untuk tahun ini ialah sebanyak 20 rumpun lagi. Aku akan update kan perkembangannya dari masa kesemasa. Aku juga mencadangkan kepada yg berminat supaya menanam Buluh Lemang terutama disudut halaman rumah. Ianya tidak semak dan rumpun buluh sememangnya ditakuti oleh ular dan binatang perosak yang lain.

Buluh lemang yg dipotong setiap 3 ruas siap utk dihantar kpd pembeli
Beberapa Rumpun Buluh Lemang aku kelihatan botak dan mula tumbuh pucuk baru

Rabu, 5 Julai 2017

Jambu Bola

Semasa aku masih kecil dulu sekitar Tahun 60an ada sepohon pokok Jambu Bola sebelah telaga rumah aku. Bila musim buah jambu masak,  aku akan ambil buah yang masak berwarna merah dan aku cucukkan dengan daun nyior.  Adalah dalam 6 atau 7 biji secucuk dan aku jual pada harga 10 sen saja secucuk. Aku naik basikal dan pusing kampung menjaja ..... "Buah Jambu.... Buah Jambu"  dapatlah duit poket dalam RM1 atau RM2/= sehari.

Kini ada sepohon pokok Jambu Bola di Dusun Aku.  Pokoknya amat besar, rendang dan tinggi. Pada beberapa tahun permulaan aku beli Dusun ini aku lihat Tuan Tanah dulu telah mengikis kulit pangkal pokok jambu ini.  Mungkin Tuan Tanah itu hendak biarkan pokok ini mati agaknya. Namun aku pulihkan kembali pokok ini dengan menyiram baja, buat pruning, tampal lubang2 buruk dengan simen dan Alhamdulillah pokok Jambu Bola ini tumbuh dengan lebih subur. Akan tetapi, aku telah menunggu bertahun2 namun ia tidak juga berbuah.  Satu hari aku ada bersembang dengan ayah aku berkenaan pokok Jambu Bola ini sementelahan mengingat kembali pohon jambu yg ada ditepi telaga suatu ketika dulu. Ayah aku tidak setuju aku menebang pokok itu kerana katanya kalau nak ditanam pokok yang sama jenis mungkin akan mengambil masa bertahun2 baru akan mengeluarkan hasil. Tapi aku dah cerita dengan ayah aku yang aku telah membubuh baja dan sebagainya tetapi pokok tidak juga berbuah hanya tumbuh subur dengan daun yg rendang.

Tiga tahun lepas aku nekad akan menebang juga pokok Jambu ini. Aku hanya beri peluang sekali kepada pokok itu dengan memberi amaran  "Wahai Pokok Jambu, aku telah menjaga engkau dari hampir mati dulu kepada terlalu subur sekarang.  Tetapi engkau tidak juga berbuah. Aku beri Last Warning kepada engkau iaitu Sekiranya engkau tak berbuah juga musim ini aku akan tebang engkau kerana aku akan tanam dengan pokok yg lebih produktif daripada engkau"  Aku bercakap dengan pokok Jambu itu sambil menepuk2 batang pokoknya.

Semenjak daripada itu Pokok Jambu Bola ini tidak berhenti berbuah bermula dalam 3 tahun lepas hingga kini dan menjadi diantara pokok kesayangan aku di Dusun ketika ini. Cuma buahnya amat digemari oleh Sang Tupai dan burung2 sehingga aku terpaksa memetik buah yg tidak cukup masak setiap kali musimnya hanya untuk makan cicah dengan kuah rojak,  Rasanya sungguh enak dan ada sekali sekala aku dapat merasakan buanhnya yang ranum amat manis dan lemak.

Sesungguhnya, pokok2 adalah juga makhluk Allah SWT.  Mereka hidup seperti kita dan Alhamdulillah!!! Pokok Jambu Bola ini mendengar permintaan aku.

Petik sikit pagi nie nak makan cicah Kuah Rojak petang nanti.

Ahad, 25 Jun 2017

Selamat Hari Raya

Assalammualaikum Wrkth kepada semua Followers khususnya.

Maaf, lambat wish sebab baru balik dari Masjid.

Saya mengambil kesempatan ini untuk Mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitri. Maaf Zahir dan Batin jika ada sebarang ketelanjuran cara atau tuturkata samaada di sengajakan atau tidak sengaja.

Saya Doakan semoga Tuan/Puan sekelian terus beristiqamah beribadah kepada Allah SWT dan kekal sihat walafiat dalam meneruskan kehidupan di dunia fana ini.

Wassalam.

Baru kembali dari Solat Sunat Raya pagi ini.

Jumaat, 23 Jun 2017

Buluh Lemang

Hari ini ialah hari yg ke 2 aku ambil buluh lemang di Dusun. Permintaan untuk buluh lemang amat tinggi. Tiga hari lepas aku ambil dalam 100 batang atas permintaan rakan2. Aku jual pada mereka hanya RM1/=sebatang. Aku telah semak harga pasaran di Pasar Pagi dan ianya dijual pada kadar RM3/=sebatang.

Ada 5 permintaan outstanding. Seorang hendak 200 batang yang seorang lagi hendak 100 batang. Seorang rakan yg telah ambil 30 batang 3 hari lepas kini buat repeat order untuk 50 batang. Seorang penjual lemang popular di Perkarangan Masjid Lama order sebanyak mana aku boleh hantar.  Adik2 aku dikampung juga pesan supaya aku kirim melalui Bas. Tetapi tak dapat aku penuhi kerana agak cerewet utk berurusan dgn pihak bas. Sementelahan hanya aku seorang yg menebang dan memproses buluh lemang ini.

Hari ini aku ambil dalam 360 batang. Hampir separuh hari aku di Dusun. Alhamdulillah! Semua buluh lemang itu telah aku hantar pada mereka yg membuat pesanan. Aku hanya ada 7 rumpun buluh lemang di Dusun. Aku baru ambil dari 2 rumpun dan ada 5 rumpun lagi belum diusik.

Tanam buluh lemang amat mudah. Tanam dan biar. Kurang setahun dah boleh diambil hasilnya. Pokoknya tidak sesemak buluh biasa. Boleh ditanam di sudut kawasan rumah.

Banyak ini saja yg aku dapat ambil pagi ini.

Isnin, 29 Mei 2017

Jalan Lagi.....

Hari ini aku datang rumah aku di Ara Damansara naik motor saja.  Walaupun hari bekerja tapi agak sibuk jugak. Aku bertolak dari Kuantan dalam jam 6. 20 pagi dan sampai di Ara Damansara dalam jam 9.30 pagi. Aku berhenti isi minyak dan berehat di Stesen Petronas Karak dalam 30 minit.  Kira agak cepat juga sampai KL.  Akan tinggal disini beberapa hari sebelum balik Kuantan.


Jumaat, 19 Mei 2017

Riadah Ketika Tidak ke Dusun

Aku memang tidak ke Dusun pada setiap hari Jumaat.  Manakala pada hari Ahad, aku seboleh2nya akan keluar beriadah dengan motorsikal ketempat2 yang sederhana jauhnya.  Sasaran utama aku ialah apabila ada Pekan Sehari atau Program Tertentu di lokasi2 tersebut.

Sebelum ini aku telah ke Kemaman membeli Keropok Lekor,  Ke Pekan membeli Murtabak Makasa, Ke Temerloh iaitu mengunjungi Pekan Sehari dan Ahad lepas, aku ke Rompin juga mengunjungi Pekan Sehari di situ.

Berjumpa Taukeh Station  Rompin 2
Ketika Mengunjungi Pekan Sehari Temerloh

Jumaat, 5 Mei 2017

Telur Itik dan Rebung Madu

Hampir seminggu aku tak ke Dusun kerana balik kampong di Penang ada anak saudara kahwin. Seronok juga bila sesekali balik kampong terutama ketika ada Majlis Kenduri Perkahwinan kerana dapat berjumpa dengan ramai kawan2 lama sekampong dan satu sekolah bahkan satu kelas pun ada.

Ada rakan lelaki dan ada juga rakan sekelas perempuan. Aku hampir tidak mengenali mereka kerana ada yang berjambang, berjanggut dan ada yang tiada berambut lagi.  Tetapi mereka semua kenal aku baik lelaki dan juga perempuan.  Mungkin aku baru balik kampong manakala mereka sudah lama menetap disitu.

Apa yang lebih menggembirakan aku ialah kata mereka keadaan aku tidak banyak berubah. Physical aku tidak setua usia.  Sekali pandang mereka sudah kenal aku siapa.  Manakala aku terpaksa bertanya siapa mereka?????.  Bukan seorang dua bahkan ramai yang berkata begitu.  Ada yang bertanya akan rahsia apa yang aku amalkan.  Dengan bangga aku menjawab bahawa aku seorang Petani. Aku mengusahakan 2 Dusun dan sekarang dalam proses nak masuk yg ke 3 seorang diri.  Badan aku sentiasa bermandikan peluh dan aku lebih banyak berkerja dari berehat.

Contohnya, hari ini aku baru balik driving dari Kampong dan KL.  Mungkin ada orang akan berehat sebab driving terlalu jauh.  Tetapi aku tidak. Selepas solat Jumaat, aku terus ke Dusun kerana inilah kehidupan aku.  Aku membuat sedikit kerja, membakar ranting2 yg jatuh dan mengutip hasil yang tidak diambil dalam seminggu yang lepas.

Telur Itik & Rebung Madu yang aku ambil petang tadi

Khamis, 6 April 2017

Erti Sebuah Hadiah.......

Aku memang amat berminat dengan Motor Besar.  Ketika masih bujang lagi aku sudah memiliki Motor Besar  BSA bernombor plate   BR 774.  Ketika bekerja di Kerteh aku memiliki motorsikal Suzuki GSX 350.  Ketika bekerja di Kuantan aku memiliki pula motorsikal Kawasaki ZZR.  Dengan Motorsikal Besar aku dapat berkali memasuki Singapore dan biasa ke Thailand.  Dalam semenanjung Malaysia tak payah cerita kerana setiap pelusuk dari Perlis, Kota Bharu, Johor dan sebagainya telah aku pergi dengan Motorsikal.  Dan aku menunggang hanya seoarang diri tidak berkonvoi seperti pemilik motorsikal besar yang lain.

Aku memang berhajat untuk membeli sebuah Motorsikal Besar sebaik saja aku pencen pada tahun 2010.  Tetapi pada masa itu isteri aku menentang kuat hasrat aku itu kerana katanya yang umur aku sudah lanjut dan tidak sesuai untuk menunggang motorsikal besar lagi. Menaiki kereta adalah pilihan terbaik katanya. Anak2 aku juga menentang hasrat aku itu kata mereka membazir dan masa sekarang adalah untuk mencari wang dan menyimpan. Aku diam saja sedangkan aku masih berminat untuk membelinya.

Dua minggu lepas ketika balik ke Penang aku melihat terlalu banyak penunggang motorsikal besar di lebuhraya. Isteri aku seolah2 tahu yang aku sedang memerhatikan motorsikal tersebut dengan penuh minat.

Sekembali aku ke Kuantan pada hujung bulan lepas tanpa aku sangka beliau mengajak aku kekedai Motor Besar di Kuantan.  Bukan saja beliau bersetuju untuk aku memiliki sebuah Motorsikal Besar bahkan beliau menggunakan wang simpanannya membayar kesemua kos pembelian Motorsikal tersebut. Katanya .... ia sebuah hadiah Hari Lahir aku.  Sedangkan Hari Lahir aku masih jauh berbulan kehadapan.

Terima kasih kepada isteri aku kerana memahami erti sebuah minat.  Kepada anak2, .......  Masa untuk aku mencari wang pada ketika ini sudah tamat. Sebaliknya aku mesti menghabiskan sisa2 kehidupun menggunakan lebihan simpanan yang ada untuk menikmati minat yang masih terserlah. Segala perit jerih dalam usaha aku mengumpul kewangan ketika usia muda aku nikmati kepuasannya pada usia yang sebagini sebelum melangkah pergi menemui Allah SWT.

A Dream Comes True

Buah Abui dari Afrika Selatan.

Alhamdulillah,  baru2 ini ada kesempatan bertemu dengan Tuan Haji Ghazali yg selalu memberi komen membina dalam blog ini di sebuah Restoran di Ara Damansara.

Pertemuan ini adalah untuk saya memberi kepada beliau beberapa biji buah Lychee Brazil untuk beliau merasai dan menyemai benihnya.

Tuan Haji Ghazali pula telah membawa beberapa biji Buah Abui yg berasal dari Afrika Selatan. Buah ini seperti buah pinang dan isi didalamnya adalah seperti buah ciku. Rasanya manis dan  Terima kasih kepada Tuan Haji Ghazali.

Lychee Brazil vs  Abui dari Afrika Selatan

Jumaat, 3 Mac 2017

Harap Maaf !!!!!!!

Assalammualaikum Wrkth. kepada Followers dan Pengunjung Blog Dusun Ku ini.

Saya memohon maaf kerana terpaksa menutup Ruang Komen pada setiap Halaman Blog atau artikel yang saya upload ke Blog ini berkuatkuasa SERTAMERTA.

Saya juga akan membataskan upload artikel baru yang menceritakan berkenaan hasil atau perkembangan  terkini blog ini. Upload saya selepas ini mungkin hanya sekadar memuatkan gambar2 tanpa ada ulasan mengenainya.

Saya juga tidak akan menulis lagi di Halaman "Pengubatan Islam"  dan menutup serta merta juga Halaman Soal Jawab.

Saya sedang berusaha untuk mengalihkan tumpuan blog ini supaya ianya hanya dapat di assess oleh keluarga terdekat saja seperti yg saya idamkan pada matlamat asal pembukaan blog ini.

Saya tertarik dengan prosa dibawah ini yg membuatkan saya mengambil langkah2 yg saya nyatakan diatas.


"Jangan Menjelaskan Tentang Dirimu dan Kejayaan Mu kepada Sesiapa Pun,  Kerana yang Menyukai Mu Tidak Perlu Tahu Tentang Semua Kejayaan dan Kebaikan yang telah Kamu Lakukan.

Manakala Yang Membenci  Mu Tidak akan Percaya Tentang Kejayaan dan Kebaikan yang ada pada Diri Mu.


Kehidupan Ini bukan Tentang Siapa yang Terbaik, Tetapi Tentang Siapa yang Mahu Berusaha dan Berbuat Baik di Samping Sentiasa Memperbaiki Diri." 


Hari ini dan semalam adalah hari yang berbeza. Hanya Allah SWT yg Mengetahui, Memberkati dan Merahmati akan hambanya.

Wassalam.


Khamis, 23 Februari 2017

Bila Musim Bunga Tiba......

Alhamdulillah!!!!!

Lychee Brazil Berbunga lagi.

Pokok Lychee Brazil sebelah rumah dan di Homestay Berbunga lagi.